AS undur tentera dari Syria tingkatkan pengaruh Rusia, Iran


Canselor Jerman Angela Merkel berkata rancangan Washington untuk menarik balik tenteranya dari Syria akan meningkatkan peranan Rusia dan Iran di rantau itu. – Gambar EPA, 16 Februari, 2019.

CANSELOR Jerman Angela Merkel memberi amaran rancangan Washington untuk menarik balik tenteranya dari Syria akan meningkatkan peranan Rusia dan Iran di rantau itu.

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Disember lalu mengumumkan kira-kira 2,000 tenteranya akan dipanggil pulang sebaik sahaja pejuang-pejuang kumpulan Islamic State (IS) di timur laut Syria dijangka akan dikalahkan tidak lama lagi.

Bagaimanapun, Washington sukar untuk meyakinkan sekutunya untuk terus mengekalkan tentera mereka di Syria.

“Adakah pengunduran tentera Amerika dari Syria itu baik? Atau adakah ia sekali lagi akan menguatkan keupayaan Iran dan Rusia untuk menggunakan pengaruh mereka?” kata Merkel pada Persidangan Keselamatan Munich di Jerman.

Setiausaha Pertahanan AS Patrick Shanahan pada Jumaat mengesahkan akan terus menyokong usaha memerangi IS. 

Keputusan AS untuk mengundurkan tenteranya mengejutkan sekutunya, termasuk Perancis yang membekalkan senjata dan menempatkan kira-kira 1,200 anggota tentera, termasuk tentera yang melatih tentera Iraq.

Menteri Luar Perancis Jean-Yves Le Drian menyifatkan langkah AS itu sebagai “misteri”. – AFP, 16 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen