Urbanisme zombi


Badrul Hisham Ismail

GEORGE Town, Kota Melaka, dan Kampung Cina Kuala Terengganu. Tiga kota yang berbeza dari segi sejarahnya, penghuninya, dan boleh dikata udaranya juga. Tetapi berjalan dan mengalami kota-kota ini memberi satu perasaan yang sama.

Perasaan melihat sesuatu yang cukup sifat-sifat kecantikannya, tetapi kekurangan sesuatu yang menarik dan hidup. Seperti melihat sebatang pokok tua yang besar tetapi lohong di dalamnya. Seperti melihat seseorang yang hidup tapi tak bermaya. Hidup tapi mati. Seperti zombi.

Arwah George A. Romero, dalam siri filem zombinya, mempamerkan zombi sebagai makhluk yang hidup tapi mati, tiada jiwa. Dalam Dawn of the Dead, filemnya yang tersohor, beliau menayangkan zombi-zombinya sebagai mangsa kapitalisme dan konsumerisme.

Mereka hanyalah bekas kosong tidak berjiwa. Dari luaran mereka kelihatan seperti manusia, tetapi tiada satu pun ciri-ciri manusiawi yang mereka miliki. Bergerak perlahan beramai-ramai seperti haiwan tak berakal, dengan rakus memakan dan merosakkan apa yang mereka temui, tanpa apa-apa tujuan atau fungsi lain.

Berdasarkan konsep zombi ini, seorang ahli akademik dari Norway bernama Jonny Aspen telah mengeluarkan satu istilah disebut “Urbanisme Zombi.” Istilah ini ditimbulkan untuk mengkritik trend urbanisme yang sedang pesat berlaku di serata dunia, di mana seperti berlakunya pembangunan dan reka bentuk kota homogen yang menghasilkan kota-kota klise, sebam dan hambar.

Menurut Jonny Aspen, urbanisme zombi merujuk kepada proses urbanisme yang tak punya ruang untuk sesuatu yang di luar aturan atau luar dugaan. Urbanisme yang terlalu tersusun, kemas dan mudah diduga yang bertujuan hanya untuk “dijenamakan”, dipasarkan, dan dijual.

Sejenis pembangunan dan pembaikpulihan yang cuma satu strategi pengkomersialan, tanpa mengambil kira nilai-nilai sosial dan pemberdayaan penduduk setempat. Hasilnya, semua kelihatan rapi dan tersusun. Semua kelihatan seperti kawasan kota yang cantik. Tetapi, walaupun pemandangannya cantik, semuanya hambar, sebam dan bosan.

Umpama perabot-perabot IKEA – cantik, trendy, dan hip, tetapi tidak menceritakan atau memamerkan apa-apa nilai warisan, atau nilai estetika, yang boleh mencerminkan sejarah dan aspirasi dinamika kehidupan kota.

Kita boleh lihat perkara yang sama di stesen-stesen MRT yang dibina di Kuala Lumpur, khususnya stesen-stesen di atas tanah. Untuk yang tujuh di bawah tanah (dari stesen Muzium Negara ke Maluri), saya ingin katakan itu adalah proses pembangunan dan reka bentuk yang boleh dicontohi, di mana setiap stesen itu berbeza dan menceritakan naratif-naratif sendiri. Samada suka atau tidak, itu tolak belakang.

Akan tetapi, untuk stesen-stesen selebihnya yang di atas tanah, lain pula cerita. Pada waktu siang, mereka kelihatan seperti kotak-kotak lego gergasi yang ditaburkan di seluruh kota. Di waktu malam pula, semuanya terlihat seperti kapal-kapal angkasa yang mendarat ingin menculik penduduk kota ke planet lain.

Semuanya kelihatan sama, yang berbeza cuma saiz. Tidak ada yang membezakan stesen Kajang dengan Sungai Buloh, atau stesen Taman Tun Dr Ismail dengan Bandar Tun Hussein Onn, melainkan papan tandanya sahaja. Walaupun keempat-empat kawasan perumahan ini mempunyai sejarah dan demografi penduduk yang tersendiri.  

Di kota-kota seperti George Town, Kota Melaka, dan yang seiras dengannya pula, pembangunan dan pembaikpulihan terlalu jelas kelihatan hanya bertujuan untuk menarik pelancong. Setiap reka bentuk atau pencantikan yang dibuat hanyalah mengikut citarasa global yang klise dan basi. Terancang dan mudah diduga.

Malah ekonominya juga sama. Semuanya menawarkan kafe-kafe hipster dan bangunan-bangunan warisan. Sehinggakan coretan grafiti di dinding-dindingnya juga kelihatan sama. Dan secara tidak langsung, kota-kota ini hanya menarik orang-orang yang sama, menghasilkan masyarakat homogen yang menjemukan.     

Kota yang hidup dan meriah itu haruslah berisikan kejutan, perkara di luar dugaan, serta pertemuan dan pertembungan yang tidak terancang. Dihiasi pula dengan pemandangan dan persekitaran yang boleh menambah ilham, memberi erti dan petunjuk kepada penghuni kota tentang sejarah dan masa depan, meraikan kepelbagaian, serta menambah kesinambungan dinamika hidup kota. Barulah ia akan lebih bermakna, benar-benar hidup dan berisi, tidak kosong, lohong dan lopong seperti zombi. – 4 September, 2017.

*

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen