POPE Francis memecat bekas paderi besar Amerika Syarikat (AS) Theodore McCarrick atas kesalahan penderaan seksual ke atas kanak-kanak 50 tahun lalu, kata satu kenyataan Vatican hari ini.
Theodore berusia 88 tahun yang meletak jawatan dari Kolej Paderi Vatican pada Julai tahun lalu adalah paderi pertama dipecat kerana terlibat dalam kes penderaan seksual ke atas kanak-kanak.
Dia didapati bersalah pada Januari lalu di sebuah mahkamah atas kesalahan penderaan seksual ke atas kanak-kanak dan keputusan ditentukan oleh Pope pada Februari tanpa alasan lanjut.
Pengumuman itu mengejutkan berikutan bekas paderi berkenaan sebelum ini berpengaruh dan antara yang ke depan dalam persidangan bersama uskup seluruh dunia bagi membincangkan perlindungan kanak-kanak di gereja.
Skandal penderaan seksual di seluruh dunia dan yang terbaru di Amerika Syarikat dan Chile menggoncang institusi gereja apabila Pope Francis turut menjanjikan dasar toleransi sifar walaupun untuk ahli gereja berpangkat tinggi.
McCarrick dilarang menjalankan amalan sebagai seorang paderi pada Julai tahun lalu dan selepas itu beliau melepaskan gelar penghormatan paderinya.
Vatican pada 2017 meminta uskup agung di New York menyiasat seorang paderi yang berpengaruh selepas seorang lelaki menuduh McCarrick membuat gangguan seksual terhadapnya pada 1970-an.
McCarrick dikenali kerana mengadakan hubungan seks dengan peserta seminar sebelum dia dituduh melakukan gangguan seksual sekurang-kurangnya dengan seorang remaja.
Pendakwa di Pennsylvania pada tahun lalu mendapati 300 paderi terlibat dalam penderaan seksual kanak-kanak sejak 1940-an. – AFP, 16 Februari, 2019.
Komen