Nigeria tangguh pilihan raya


Suruhanjaya Pilihan Raya Bebas Kebangsaan (INEC) memutuskan pilihan raya dijadualkan semula pada Sabtu, 23 Februari. – Gambar EPA, 16 Februari, 2019.

PILIHAN raya Nigeria ditangguhkan selama seminggu, tidak sampai beberapa jam sebelum ia dimulakan hari ini.

Penangguhan diumumkan oleh badan pemantau pilihan raya negara itu, ketika hampir 120,000 pusat mengundi telah dibuka pada 0700 GMT.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Bebas Kebangsaan (INEC) Mahmood Yakubu berkata selepas mesyuarat tergempar yang diadakan malam tadi, ia memutuskan yang pilihan raya tidak sesuai diadakan hari ini.

“Oleh itu, suruhanjaya memutuskan pilihan raya dijadualkan semula pada Sabtu, 23 Februari,” beliau memberitahu pemberita di ibu pejabat INEC, lima jam sebelum proses pengundian dimulakan.

Keputusan penangguhan itu dibuat selepas mengkaji dan meneliti pelaksanaan pelan logistik dan operasi, serta penentuan untuk mengadakan pilihan raya yang bebas dan adil, kata Yakubu.

“Ia akan memberi peluang kepada suruhanjaya untuk menangani masalah yang sudah dikenal pasti untuk mengekalkan kualiti pilihan raya kami”

Beliau berkata walaupun sukar, keputusan itu terpaksa diambil untuk menjamin kelancaran pilihan raya dan pengukuhan demokrasi negara itu.

Presiden Muhammadu Buhari akan berdepan pesaing kuat dari pembangkang, iaitu bekas naib presiden Atiku Abubakar. – AFP, 16 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen