Bayaran balik cukai GST rangsang ekonomi, kata Guan Eng


Christopher Rabin

Menteri Kewangan Lim Guan Eng juga berkata ekonomi negara dijangka bertambah baik pada 2019 berdasarkan trend pertumbuhan pada 2018. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 16 Februari, 2019.

BAYARAN balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan cukai pendapatan kepada perniagaan yang ditangguhkan kerajaan sebelum ini akan merangsang pertumbuhan ekonomi, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

“Kita sudahpun mula membuat pembayaran balik balik GST dan cukai pendapatan berjumlah RM37 bilion, kita akan buat pembayaran dalam tempoh 10 bulan ini.

“Ada yang belum menerima bayaran balik mereka dalam tempoh dua hingga tiga tahun dan hanya mendapat bayaran selepas kerajaan bertukar. Ini dijangka akan merangsang ekonomi,” kata Lim selepas majlis sambutan Tahun Baharu Cina untuk Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) di Kuala Lumpur hari ini.

Putrajaya menjangka untuk melunaskan pembayaran balik GST kepada perniagaan yang tertunggak sejak 2015, iaitu di bawah pentadbiran Barisan Nasional.

Bayaran balik telah bermula pada Januari dan akan selesai menjelang Oktober.

Selepas Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya Mei lepas, Kementerian Kewangan mendedahkan sejumlah RM19.4 bilion bayaran balik GST tidak dibayar kepada perniagaan.

Lim berkata ekonomi negara dijangka bertambah baik pada 2019 berdasarkan trend pertumbuhan pada 2018.

“Apabila kita lihat pada suku ketiga tahun lepas, pertumbuhan adalah pada 4.4% dan pada sukut keempat, pertumbuhan berada pada 4.7%,” katanya. – 16 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen