PARTI Sosialis Malaysia (PSM) meletakkan calon terbaik untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih kerana masih muda dan juga aktivis yang boleh membawa suara rakyat, kata ahli jawatankuasa pusat parti itu, S Arutchelvan.
Menurutnya, Nik Aziz Afiq Abdul, 25, seorang aktivis yang juga boleh menjadi pembangkang kuat untuk kerusi negeri.
“Apa yang rakyat perlukan ialah pembangkang yang kuat dan PSM akan menjadi orang terbaik untuk menyuarakannya. Kami fikir tidak ada perbezaan antara Bersatu dan Umno.
“Yang terbaik adalah untuk mendapatkan calon muda dan dinamik,” katanya kepada The Malaysian Insight di Dewan Seri Cempaka, Kajang selepas penamaan calon hari ini.
Nik Aziz calon termuda dipilih untuk PRK Semenyih yang bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru.
Antara calon lain yang bakal bertanding ialah Zakaria Hanafi, Muhammad Aiman Zanali (PH) dan Kuan Chee Heng (bebas).
Arutchelvan juga berharap belia dari Semenyih keluar mengundi kerana mereka akan mewakili 45 peratus daripada 54,471 pengundi.
Antara isu yang akan dibincangkan parti ialah berkenaan perumahan kos rendah dan masalah dalam kalangan pekerja.
Nik Aziz berkata, dia berkempen melalui platform media sosial melibatkan isu di Semenyih
“Setiap calon mempunyai kekuatan sendiri dan apa yang bagusnya rakyat akan mendapat keuntungan tidak kira siapa yang menang dalam pilihan raya itu nanti,” katanya.
Pada 2008, Arutchelvan bertanding di Semenyih di mewakili PKR dan memperoleh 10,448 undi.
Namun dia dikalahkan oleh Umno Johan Aziz yang menerima 11,588 undi.
Pada 2013, Arutchelvan kemudiannya bertanding di bawah PSM dan memperoleh 5,568 undi manakala Hamidi A Hasan mewakili PKR menerima 13,471 undi dan Johan Abd Aziz daripada Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan dengan 17,616 undi.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kerusi itu menyaksikan pertarungan empat penjuru dan Arutchelvan yang bertanding hanya memperoleh 1,293 undi.
Kerusi itu dimenangi Bakhtiar Mohd Nor dengan 23,428 undi manakala Johan Abd Aziz (14,464) dan PAS ‘Mohd Shahmidur Mat Kosim (6,966).
Sementara itu Kuan yang juga dikenali sebagai ‘Uncle Kentang’ berkata, strateginya akan memberi tumpuan kepada golongan miskin memandangkan mereka mendakwa diketepikan masyarakat.
“Ia bukan tentang politik tetapi bagi memberi penyelesaian kepada orang memerlukan di Semenyih. Kami membantu golongan yang lapar dan sakit.
“Mereka yang sakit tak ada cukup wang untuk ke hospital. Sebab itu kita perlu melihat apa yang boleh kita lakukan,” katanya. – Bernama, 15 Februari, 2019.
Komen