DUA wanita Amerika Syarikat (AS) menyaman agensi kawalan sempadan selepas mereka ditahan kerana fasih berbahasa Sepanyol dan disangka pendatang haram.
Kejadian penahanan itu berlaku pada Mei tahun lalu di sebuah pekan kecil di Havre, Montana apabila pegawai keselamatan Paul O’Neal meminta Ana Suda dan Martha Hernandez menunjukkan kad pengenalan selepas mendengar kedua-dua wanita itu berbual dalam bahasa Sepanyol.
Paul berkata kepada wanita tersebut dia tidak suka mereka berbual dalam bahasa asing itu.
Pegawai itu kemudiannya menahan kedua-dua wanita tersebut selama 40 minit sebelum membebaskan mereka.
Hernandez dan Suda yang lahir di Texas, mendakwa mereka sedang membeli telur dan susu di sebuah kedai ketika ditahan oleh Paul yang berdiri di belakang mereka.
Kejadian itu turut dirakamkan dan tersebar.
Kesatuan Kebebasan Awam AS pada Khamis menyaman Jabatan Kastan dan Perlindungan Sempadan AS bagi pihak kedua-dua wanita itu. – AFP, 16 Februari, 2019.
Komen