Aiman calon Pakatan yang terbaik untuk Semenyih, kata Muhyiddin


Diyana Ibrahim Asila Jalil

Calon Pakatan Harapan Muhammad Aiman Zainali (bersampin hitam) adalah calon terbaik untuk bawa pembangunan di Semenyih, kata Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 16 Februari, 2019.

DARIPADA empat calon PRK Semenyih, calon Pakatan Harapan Muhammad Aiman Zainali mempunyai kelebihan kerana berada di pihak kerajaan, kata Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Disebabkan itu, Aiman mampu membawa pembangunan ke kawasan tersebut dengan lebih mudah jika terpilih jadi wakil rakyat.

“Beliau adalah calon terpilih, pada saya penerimaan umum agak baik, sangat berkelayakan, orang muda.

“Secara logiknya jika wakil PH menang di Semenyih maka lebih mudah jalankan tugas dan dapatkan bantuan daripada kerajaan negeri atau kerajaan pusat,” katanya selepas proses penamaan calon PRK Semenyih di Kajang.

PRK Semenyih menyaksikan pertandingan empat penjuru, dengan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan dianggap mendahului persaingan.

Selain Aiman, calon lain ialah Zakaria Hanafi (BN), Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng.

PRK Dun Semenyih diadakan susulan kematian wakil rakyatnya 

Pada masa sama, Muhyiddin menyenaraikan beberapa isu utama di Semenyih yang akan diberi perhatian oleh calon PH.

Antaranya adalah masalah kesesakan lalu lintas, banjir dan isu hospital Kajang yang terlalu padat.

“Itu masalah yang diutarakan penduduk Semenyih, tapi kita tidak boleh janji akan bagi sebab itu arahan dan peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya. 

“Tapi yang saya boleh katakan kita ambil maklum tentang masalah itu.”

Keputusan PRK Semenyih tidak akan mengubah pentadbiran negeri, tetapi PRK ini dianggap banyak pihak sebagai medan ujian untuk PH menguji sentimen penerimaan rakyat terhadapnya selepas hampir setahun berkuasa, ia juga akan menjadi medan pengukuhan kerjasama Umno dan PAS yang sekali lagi bergabung tenaga melawan PH susulan kejayaan di Cameron Highlands lalu. – 16 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen