PAS tidak akan sokong Umno di Semenyih, kata Dr M


Chan Kok Leong

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengulas mengenai pertemuan beliau dengan Presiden PAS Abdul Hadi Awang di Kuala Lumpur semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 16 Februari, 2019.

PAS tidak akan membantu Umno pada pilihan raya kecil (PRK) Semenyih, kata Dr Mahathir Mohamad.

Ini kerana kata perdana menteri, wujud perjanjian bertulis yang ditandatangani berhubung perkara itu.

“Mereka (PAS) tidak akan menyokong Umno,” kata Dr Mahathir di Kuala Lumpur hari ini.

“Terdapat perjanjian bertulis yang telah ditandatangani.”

Bagaimanapun Dr Mahathir tidak mengulas lanjut tentang perjanjian bertulis itu.

Beliau berkata demikian mengulas tentang pertemuannya dengan Presiden PAS Abdul Hadi Awang di Kuala Lumpur semalam.

Katanya pertemuan selama 45 minit itu yang dihadiri bersama Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dan Menteri Besar Terengganu Ahmad Shamsuri, mengenai politik.

“Dalam pertemuan itu, kami bincang soal politik. Banyak soal politik. Antaranya mengenai  PAS dalam pilihan raya kecil Semenyih kali ini, ia (PAS) tidak akan menyokong parti UMNO.

“Hadi maklumkan kepada saya PAS tidak akan menyokong UMNO. Tapi ada juga pengakuan secara tertulis dan ditandatangani,”katanya.

Abdul Hadi semalam dilapor berkata pertemuannya dengan Dr Mahathir pada Jumaat adalah bagi membincangkan penyelarasan pentadbiran antara Kerajaan Negeri dengan Persekutuan.

Ahli Parlimen Marang itu berkata perbincangan itu turut menyentuh mengenai Wang Tunai Petroleum (WTP), Majlis Tindakan Ekonomi (MTE) dan projek-projek Kerajaan Persekutuan dan Negeri agar tidak wujud sebarang percanggahan. – 16 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen