BN bertanding untuk pastikan pembangkang Selangor kuat, kata Mat Hassan


Asila Jalil

Mustahak untuk BN menang dalam pilihan raya kecil itu walaupun ia tidak memberi kesan kepada struktur kerajaan negeri, kata Mohamad Hassan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 16 Februari, 2019.

BARISAN Nasional bertanding di Semenyih untuk mengukuhkan suara pembangkang di Dewan Undangan Negeri Selangor, kata pemangku Presiden Mohamad Hassan.

Katanya, mustahak untuk BN menang dalam pilihan raya kecil itu walaupun ia tidak memberi kesan kepada struktur kerajaan negeri.

“Ini adalah untuk kami mendapatkan seorang lagi wakil yang boleh membangkitkan suara rakyat dan mengetengahkan isu yang mereka hadapai,” katanya selepas proses penamaan calon PRK itu hari ini.

Tambahnya, calon BN, Zakaria Hanafi dikenali penduduk setempat dan diterima banyak pihak dalam kawasan itu.

Zakaria, 58, adalah calon tertua PRK itu dan sudah lama jadi pemimpin Umno.

“Apa yang penting adalah kita mahukan calon untuk rakyat, bukan saintis roket yang tak tahu tentang penduduk setempat dan janggal dengan mereka.

“Calon kita rapat dengan rakyat. Mereka di Beranang dan seluruh Semenyih kenal dia,” kata Mohamad kepada wartawan di Dewan Seri Cempaka, Kajang yang jadi pusat penamaan calon.

PRK Semenyih menyaksikan pertandingan empat penjuru. Calon lain ialah Muhammad Aiman Zanali (Pakatan Harapan), Nik Aziz Afiq Abdul (PSM) dan Kuan Chee Heng (Bebas).

Selain Zakaria, Aiman dan Nik Aziz juga calon tempatan.

Mohamad juga berkata sokongan PAS kepada BN dalam PRK ini bertujuan untuk mengukuhkan hubungan dua parti itu dan tidak akan terhenti pada PRK ini sahaja.

Beberapa pemimpin PAS termasuk Naib Presiden Idris Ahmad dan Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan hadir pagi tadi memberikan sokongan kepada calon BN.

Umno dan PAS melihat PRK ini adalah peluang untuk mengukuhkan kerjasama mereka selepas kemenangan di Cameron Highlands.

PRK Semenyih akan jadi medan ujian kerjasama itu, sama ada ia mampu menarik sokongan di luar kumpulan penyokong tegar kedua-dua parti- luar bandar, kelas pekerja- kepada golongan menengah bandar Melayu Islam yang diharapkan dapat membantu mereka mengalahkan PH pada PRU15 nanti. – 16 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen