Di mana keadilan untuk adik saya, soal keluarga tahanan


Low Han Shaun

PERGADUHAN rumah tangga empat tahun lalu di Tampin berakhir dengan tragedi bagi keluarga P. Karuna Nithi. Isteri jurutera berusia 42 tahun itu membuat laporan polis pada Mei dan 1 Jun 2013 dan suaminya mati.

Bagi keluarga Karuna, kesakitan masih dirasai. Abangnya, P. Elam Sezhian, 48, marah dan tertekan dengan cara adiknya meninggal dunia.

“Mereka membunuhnya, anda tahu, mereka membunuh adik saya, dia tidak kenal samseng, dia tidak kenal anggota polis. Kes adik saya hanya kes mudah di mana isterinya

membuat laporan kerana terlalu marah, adik saya ditahan, kemudian dia dipukul, mengalami pelbagai kecederaan dan mati,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Karuna seorang suami yang rajin dan rakan yang baik, kata Elam.

“Dia sangat penyayang terhadap anak-anaknya. Sekarang, anak sulungnya tinggal dengan saya, dia sentiasa kelihatan sedih apabila bercakap mengenai bapanya, dia sangat rindukan bapanya.

“Saya cuba yang terbaik untuk menjaganya, tetapi tidak kira apapun… dia kehilangan bapanya, bapa tetap seorang bapa, tidak banyak yang boleh saya lakukan,” katanya dengan air mata bergenang.

Penemuan Suhakam

Karuna seorang daripada 256 tahanan yang mati dalam tahanan polis antara 2000 dan 2015. Kematian mereka disebabkan keganasan dan kecuaian polis.

Kes mereka diketengahkan dalam laporan 270 muka surat, yang disediakan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan dikeluarkan tahun lepas.

Laporan itu menunjuk beberapa faktor di belakang kejadian kematian dalam tahanan polis.

Elam berkata: “Sudah hampir empat tahun sejak adik saya meninggal dunia. Tiada perkembangan langsung, walaupun penghakiman menang…saya rasa ia tidak berguna. Mengapa tiada tindakan diambil terhadap anggota polis?”

Karuna mempunyai 49 luka dan lebam semasa Elam melihat mayatnya dan dia menangis.

Menunjukkan kepada tubuhnya sendiri, Elam berkata: “Ia kelihatan seperti dia dipukul dengan senjata…di sini, di sini dan di sini, kaki juga, di sini, kenapa boleh terdapat banyak luka di sini jika mereka tidak berbuat apa-apa kepadanya?”

Suhakam berkata, polis menggunakan “kaedah kejam” untuk mempercepatkan siasatan mereka. Pegawai penyiasat (IO) di bawah tekanan untuk menutup kes dan akan menggunakan semua cara untuk mencapai petunjuk prestasi utama (KPI).

Eric Paulsen daripada Lawyers for Liberty berkata, keganasan polis adalah kejadian biasa yang berlaku dalam lokap.

“Ambil kes Karuna Nithi, sebagai contoh. Dia mempunyai 49 kecederaan, pakar patologi itu berkata dia mati akibat hati berlemak. Terdapat serbuk kari berlumur di wajah Sugumar, dia hampir telanjang, dipukul di khalayak ramai, tetapi pakar patologi berkata dia mengalami serangan jantung. Kugan, lebam di seluruh badan dan kecederaan sangat serius. Bedah siasat kali pertama menyatakan dia mati akibat cecair dalam paru-paru, bedah siasat kedua berkata dia dipukul hingga mati,” kata Paulsen memberitahu The Malaysian Insight.

A. Kugan, 22, meninggal dunia kerana kecuaian polis pada 20 Januari 2009 di Balai Polis USJ Taipan. C. Sugumar, 39, seorang pengawal keselamatan, juga meninggal dunia kerana kecuaian polis pada 23 Januari 2013 di Kajang.

Penyelaras Projek Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Mohamad Alshatri berkata, tiada akauntabiliti apabila ia berhubung keselamatan tahanan.

“Kebanyakan masa, bukan sahaja polis, tetapi juga hospital tidak telus apabila ia berkaitan perkara seperti ini,” katanya.

Dalam kes Karuna, Elam berkata, dia keliru kerana siasatan adiknya tidak mengikut prosedur. “Tiada protokol, tiada pelantikan majistret, tiada juga jaminan”.

Elam teringat memberitahu polis agar tidak menyentuh adiknya pada malam yang malang itu.

“Anggota polis itu berkata: ‘Kita tidak ada buat benda macam ini’ tetapi malam berikutnya, perkara ini terjadi (Karuna terbunuh), apa semua ini?” kata beliau dalam keadaan marah.

CCTV diselenggara baik

Dalam kes Karuna, rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) penting bagi menentukan hala tuju kes itu.

Elam berkata: “Daripada CCTV, saya lihat adik saya hanya duduk dan semua tahanan serta anggota polis mula memukul abang saya, anggota polis lain yang melihat kejadian itu hanya berdiri dan melihatnya.”

Peguam Negara Mohamed Apandi Ali, dalam temu bual dengan The Malaysian Insight baru-baru ini, berkata adalah penting bagi polis menyelenggara peralatan CCTV mereka untuk mengurangkan jumlah kematian dalam tahanan.

“Jika anda bertanya kepada saya, terdapat terlalu banyak kematian tahun ini, fungsi CCTV boleh membantu mengurangkan jumlah kematian dalam tahanan,” kata Apandi.

Suhakam mendapati kebanyakan CCTV yang dipasang di 13 lokap tidak berfungsi kerana pihak polis kekurangan latihan, pembiayaan dan birokrasi.

“Masalah terbesar dalam lokap polis adalah penyelenggaraan CCTV. Satu lagi, kerana terdapat banyak birokrasi, jadi kadang-kadang ia akan mengambil masa sehingga dua tahun hanya untuk melakukan penyelenggaraan,” kata Simon Karunagaram, pegawai komunikasi di Suhakam.

Masalah lain adalah kualiti teruk rakaman video, kerana CCTV yang dipasang beberapa tahun lalu di lokap berkualiti rendah.

Penyelesaian kepada masalah ini Laporan Suhakam mencadangkan beberapa perkara berikut:

* Penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) bagi memastikan aspek “periksa dan imbang” terhadap pasukan polis.

 “Jika anda bercakap mengenai IPCMC, apa jaminan yang boleh diberikan kejadian sama tidak berulang, melainkan jika agensi diberi kuasa menguatkuasakan syor itu,” kata Simon.

* Menubuhkan pangkalan perubatan bebas dalam lokap.

Simon berkata kira-kira 80% daripada kematian dalam tahanan polis disebabkan faktor kesihatan, yang menjadi punca mengapa pangkalan perubatan bebas penting ditubuhkan.

“Baru-baru ini, kami mengadakan perbincangan meja bulat dengan semua agensi kerajaan sebagai susulan laporan kami. Kami membentangkan penemuan kami, jadi kami berharap syor meletakkan pasukan perubatan dalam lokap dilaksanakan.

“Cadangan kami adalah menghantar doktor ke pusat lokap dahulu, seperti di Jinjang.”

Pada suku pertama 2017 sahaja, tiga kematian dalam tahanan polis direkodkan. S. Bala Murugan, 44, di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara pada 7 Februari; Thanaseelan Muniandy, 43, di Balai Polis Bukit Sentosa pada 25 Februari; dan Soh Kai Chiok, 49, di Ibu Pejabat Polis Daerah Bera pada 18 Januari.

Bagi Elam, apa yang dia mahu adalah keadilan untuk keluarganya. “Saya mahu keadilan dilaksanakan, tiada sejumlah wang yang boleh menggembalikan adik saya.” – 5 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen