Hakim Hamid boleh mohon perlindungan saksi, kata Muhyiddin


Diyana Ibrahim

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin mengulas tentang keperluan kerajaan memberikan perlindungan saksi kepada Hamid susulan afidavitnya yang menggemparkan tentang badan kehakiman. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Februari, 2019.

HAKIM Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer boleh meminta perlindungan sebagai saksi, sekiranya mahu, kata Muhyiddin Yassin, selepas hakim itu mendedahkan dakwaan salah laku hakim-hakim kanan melalui satu afidavit kelmarin.

Menteri Dalam Negeri berkata permohonan Hamid itu bagaimanapun akan dipertimbangkan pihak berkuasa sama ada perlu dan berkepentingan.

Bagaimanapun Muhyiddin berkata beliau tidak nampak ada keperluan pada masa ini untuk Hamid diletakkan di bawah perlindungan saksi.

“Buat masa ini kita tidak sampai ke tahap itu lagi. Kalau perlu untuk kita beri saksi beliau sendiri kena buat laporan polis atau mana agensi yang kepentingan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.  

“Kemudian baru kita pertimbangkan kalau ada keperluan dan adakah ia sesuatu yang sangat berkepentingan,” katanya pada sidang media selepas proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil Semenyih di Kajang.

Muhyiddin ditanya apakah perlu kerajaan memberikan perlindungan saksi kepada Hamid susulan afidavitnya yang menggemparkan tentang badan kehakiman.

Hamid dalam afidavitnya 63 halaman antara lain mendedahkan maklumat yang terperinci serta mengenai campur tangan hakim-hakim atasan untuk memastikan keputusan yang memihak kepada kerajaan.

Afidavit itu difailkan sebagai sokongan kepada saman peguam Sangeet Kaur Deo memohon deklarasi bahawa Ketua Hakim Negara Richard Malanjum telah gagal menjalankan tugasnya mengikut Perlembagaan dan sumpah jawatan. – 16 Februari, 2019.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen