PILIHAN Raya Kecil Semenyih akan menyaksikan pertandingan empat penjuru, dengan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan dianggap mendahului persaingan.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya Mohd Sayuthi Bakar Sayuri mengumumkan empat calon tersebut pada jam 10.27 pagi tadi selepas proses penamaan ditutup pada jam 10 pagi.
Mereka adalah Zakaria Hanafi (BN), Muhamad Aiman Zanali (PH), Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng.
Zakaria, 58, adalah pemimpin Umno setempat dikenali rami dan Kuan, 55, adalah dua calon tertua PRK itu, sementara calon PSM, Nik Aziz adalah termuda baharu berusia 25 tahun.
Manakala, Aiman, calon PH pula adalah menantu Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor, yang meninggal dunia bulan lepas memaksa PRK diadakan.
Kuan, atau nama gelarannya “Uncle Kentang” pula adalah aktivis sosial terkenal.
Nik Aziz adalah ahli Jawatankuasa Pemuda PSM yang menguruskan pusat urutnya sendiri.
Manakala calon Bersatu, Aiman pula berusia 30 tahun, calon Phd dalam bidang kejuruteraan elektrik di Universiti Teknologi Mara di Shah Alam. Beliau juga adalah bendahari Bersatu Hulu Langat.

PRK kerusi DUN Selangor itu akan diadakan pada 2 Mac, tetapi keputusannya tidak akan mengubah pihak berkuasa negeri mahupun persekutuan.
Tetapi ia dijangka jadi medan ujian untuk penerimaan rakyat terhadap kerjasama BN-PAS, selepas kejayaan kerjasama mereka membuahkan hasil di Cameron Highlands bulan lepas.
Sekiranya menang di Semenyih, ia boleh memberikan sebab kukuh untuk Umno dan PAS terus bekerjasama dalam usaha mereka merampas semula Putrajaya pada PRU 15 nanti.
Diluar pusat penamaan calon di Dewan Seri Cempaka di Dewan Majlis Bandaraya Kajang, hampir 500 penyokong PAS turut berhimpun memberi sokongan kepada calon BN, Zakaria. Antara pemimpin PAS yang hadir hari ini ialah Naib Presiden Idris Ahmad dan Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan. – 16 Februari, 2019.
Komen