CALON Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Parti Sosialis Malaysia sudah menghantar kertas penamaan calon untuk Pilihan Raya Kecil Semenyih.
Calon PH Muhammad Aiman Zainali daripada Bersatu adalah calon pertama masuk pusat penamaan calon di Dewan Seri Cempaka, di Dewan Majlis Bandaraya Kajang dan menyerahkan kertas penamaan kepada pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya pada jam 9.02 am.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya Mohd Sayuthi Bakar Sayuri mengumumkan yang proses penamaan calon bermula jam 9 pagi dan ditutup pada jam 10 pagi.
Calon lain yang turut menghantar kertas penamaan calon tidak lama selepas itu ialah Zakaria Hanafi (BN) dan calon Bebas Kuan Chee Heng yang ditemani kira-kira 20 orang penyokongnya.
Nik Aziz Afiq Abdul (PSM) pula adalah calon keempat menghantar kertas penamaan calon pada jam 9.07 pagi, menjadikan PRK Semenyih pertandingan empat penjuru.
Jumlah calon bertanding bagaimanapun, hanya akan disahkan dan diumumkan SPR selepas tempoh penamaan tamat.
Penyokong parti bertanding berkumpul seawal jam 8 pagi lebih kurang 200 meter dari dewan, membawa bersama sepanduk dan bendera untuk berarak ke pusat penamaan calon.

Rombongan BN disertai hampir 500 orang diketuai Pemangku Presiden Mohamad Hasan, Khairy Jamaluddin, Noh Omar, Ahmad Maslan, dan Setiauasaha Agung BN Nazri Aziz. Ketua Wanita MCA Heng Seai Kie turut hadir.
Naib Presiden PAS Idris Ahmad pula mewakili parti Islam itu yang bekerjasama dan memberi sokongan kepada calon BN.
Penyokong PSM pula tidak berapa ramai, lebih kurang 100 orang hadir termasuklah bekas calon untuk kerusi Semenyih pada PRU14 lalu, Ahli Jawatankuasa Pusat PSM S Arutchelvan, yang sebelum ini bertanding tiga kali dan gagal.
Penyokong PH pula mencecah 500 orang, diterajui Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.
PRK Semenyih akan diadakan pada 2 Mac, ia dilakukan selepas kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor kerana serangan jantung bulan lepas.
BN kehilangan kerusi majoriti Melayu itu buat pertama kali pada PRU14 lalu. – 16 Februari, 2019.
Komen