Turki tak dedah semua maklumat pembunuhan Khashoggi, kata Erdogan


Arab Saudi mengakui Khashoggi dibunuh pada 2 Oktober selepas masuk konsulat untuk mendapatkan dokumen bagi perkahwinannya dengan wanita Turki, Hatice Cengiz. – Gambar EPA, 16 Februari, 2019.

TURKI masih belum mendedahkan semua maklumat ditemuinya tentang pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi di Konsulat Saudi di Istanbul, kata Presiden Recep Tayyip Erdogan semalam.

“Kami belum bagi sepenuhnya maklumat yang kami ada,” kata presiden itu pada wawancara dengan saluran Al-Haber.

Selepas berminggu menafikan, Arab Saudi mengakui Khashoggi dibunuh pada 2 Oktober selepas masuk konsulat untuk mendapatkan dokumen bagi perkahwinannya dengan wanita Turki, Hatice Cengiz.

Turki berkata wartawan itu dibunuh oleh sekumpulan 15 orang yang menjerutnya, dan Ankara berulang kali meminta Riyadh mengenal pasti orang tempatan yang membantu melupuskan mayat yang hingga kini masih tidak ditemui.

Riyadh sudah menahan beberapa orang pegawai kanan Saudi yang didakwa terlibat dalam pembunuhan itu.

Khashoggi, kolumnist Washington Post, adalah pengkritik lantang Putera Mahkota Mohammed bin Salman yang menafikan terlibat dalam pembunuhan itu.

Ankara “bertegas mahu membawa kes itu di hadapan keadilan antrabangsa,” kata Erdogan, mendesak Amerika Syarikat memberi tekanan dalam kes itu. – AFP, 16 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen