Mahu lawat anak, wanita Thai tersesat sampai ke China


Kaeomanee Arjaw, daripada suku kaum Akha, dilaporkan hilang pada 12 Jun tahun lepas daripada rumahnya di Chiang Rai, ditemui di Kunming, selatan China. – Gambar AFP, 16 Februari, 2019.

SEORANG wanita Thailand berusia 59 tahun yang menghidap penyakit demensia, meninggalkan rumahnya lapan bulan lalu untuk melawat anak lelakinya yang tinggal berhampiran, tetapi berjalan hampir 640km ke China, tiba di negara itu semalam.

Kaeomanee Arjaw, daripada suku kaum Akha, dilaporkan hilang pada 12 Jun tahun lepas daripada rumahnya di Chiang Rai, sebahagian kawasan “Segitiga Emas” di sempadan Laos dan Myanmar.

Beliau ditemui di bandar Kunming, selatan China bulan lepas membawa bersama kad pengenalan Thailand, membolehkan pegawai menghubungi konsulat Thailand.

Sempadan China terletak berhampiran Laos dan Myanmar dan tidak dapat dipastikan laluan manakah dilaluinya sehingga mengharungi perjalanan mencabar merentas sempadan negara itu.

“Dia beritahu pegawai yang dia berjalan kaki, dan meminta makanan daripada gerai sepanjang jalan,” kata polis imigresen Chiang Rai, Aekkorn Butsabarbodin kepada AFP.

Kelmarin, anak perempuan Kaeomanee, Suchada, 35, bersama-sama pegawai Thailand terbang ke Kunming, dan mereka disatukan- anak perempuannya melutut, menangis teresak-esak- dalam pertemuan penuh emosi itu.

Dalam rakaman video, seorang pegawai bertanya wanita tersebut ke mana beliau pergi selepas melawat anak perempuannya tahun lepas.

“Saya pergi jumpa anak lelaki saya, saya jumpa dia, dan saya terus berjalan,” kata Kaeomanee.

“Tidak ada kereta di sekeliling.”

Suchada berkata ibunya hilang berat badan 20kg.

Kedua-dua mereka pulang ke Chiang Rai semalam. – AFP, 16 Februari, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen