AHLI akar umbi PAS tidak selesa dengan pendedahan bahawa Nik Mohamed Abduh Nik Abdul Aziz berbohong mengenai rakaman audio pengakuannya tentang duit politik dari Umno.
Bagaimanapun mereka menerima penjelasan Ahli Parlimen Bachok itu termasuk keputusan kepimpinan parti untuk menghalang parti Islam itu daripada terus difitnah.
“Walau apa pun berbohong dalam Islam tidak sesekali dibenarkan… sepatutnya tak berlaku.
“Tapi apabila diberi penjelasan untuk menghalang daripada fitnah, bagi saya kita boleh terima, ahli parti yang lain pun boleh terima kerana ia bersebab, bukan disengajakan,” kata seorang ahli parti yang pernah memegang jawatan dalam PAS Kedah kepada The Malaysian Insight.
Seorang lagi ahli PAS, Hilmi Khalid, 46 tahun mengakui pengakuan Nik Abduh tidak memberi kesan yang besar hingga memecah belahkan sokongan ahli PAS.
“Secara keseluruhan saya tak nampak ahli PAS ini melatah atau pun nak meletup dengan isu rakaman audio atau isu RM90 juta seperti yang disiasat SPRM (Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia).
Bagaimanapun, Hilmi berkata penerimaan ahli PAS itu tidak bermakna mereka terlalu taksub dengan pemimpin sehingga menutup mata akan kesalahan dibuat.
“Ramai yang labelkan ahli PAS ni taksub dengan pemimpin, betul saya tak nafikan ada sesetengahnya begitu.
“Tapi ramai lagi yang tidak akan sokong atau sebagai contoh, betul ada rasuah, ambil duit 1 Malaysian Development Berhad, sudah pasti mereka akan suruh pemimpin atau presiden yang terlibat sekali letak jawatan,” katanya.

Tambah Hilmi, ahli PAS tidak akan menghakimi sesuatu perkara jika masih belum terbukti kesalahan itu.
“Ahli PAS tidak akan terburu- buru menghakimi sesuatu perkara, tapi kalau salah, salahlah ia,” katanya.
Rakaman audio itu tular Februari tahun lalu menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 ketika PAS dikritik hebat Pakatan Harapan yang mendakwa parti Islam itu menerima wang dari Umno.
Nik Abduh ketika itu menafikan dakwaan suara dalam rakaman itu suaranya, menyifatkan tuduhan itu “karut, mengarut dan fitnah.”
Isu rakaman itu berbangkit semula selepas Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyelesaikan kes saman fitnahnya di mahkamah di London terhadap Sarawak Report, yang menyiarkan laporan pada 2016 mendakwa PAS menerima wang dari Umno.
Nik Abduh dan beberapa pemimpin PAS disiasat oleh SPRM selepas laporan dibuat mengenai rakaman audio tersebut.
Awal minggu ini, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mengesahkan suara dalam rakaman itu suara Nik Abduh.
Dalam satu kenyataan panjang lebar di Facebook, Nik Abduh menjelaskan beliau menafikan rakaman itu setahun yang lalu atas restu pimpinan parti.
Rakaman audio itu dibuat dalam satu pertemuan tertutup ahli dan pemimpin parti, menyebabkan Nik Abduh berpendapat beliau perlu menjaga kerahsiaan pertemuan itu.
Katanya, apa yang beliau lakukan tidak bertentangan dengan ajaran agama.
Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Sarawak Jofri Jarraie tidak menafikan ada ahli parti Islam itu yang mempersoalkan pendedahan Nik Abduh dan tindakan pimpinan.
“Memang ada ramai tanya… biasalah mereka keliru sebab hari itu kata nafi tiba- tiba mengaku, ia memang akan buat ahli tertanya- tanya.
“Bagaimanapun ia dapat diselesaikan dengan penjelasan dan setakat ini mereka menerima penjelasan yang diberikan,” katanya.
Beliau menjelaskan rata-rata 3,000 ahli PAS di Sarawak memahami bahawa penafian tersebut satu cara menyelamatkan parti daripada terus difitnah.
“Sebab kalau kalau Nik Abduh beritahu benda yang betul nanti ia akan lebih kepada agenda politik menjatuhkan PAS di mana segala kenyataan akan diputar belit.
“Dan waktu itu apabila kita menghalang daripada fitnah maka PAS dapat meraih kemenangan Terengganu, kekal di Kelantan semasa PRU14.
“Jadi ia tindakan betul menghalang daripada fitnah berleluasa,” katanya. – 16 Februari, 2019.
Komen