Rakyat China protes di Madrid, akaun bank dibekukan besar-besaran


Ratusan rakyat China mengadakan tunjuk perasaan yang jarang berlaku di pejabat bank BBVA di Madrid hari ini, kerana akaun peribadi mereka dibekukan. – Gambar AFP, 15 Februari, 2019.

RATUSAN rakyat China mengadakan tunjuk perasaan yang jarang berlaku di pejabat bank BBVA di Madrid hari ini, berang kerana akaun peribadi mereka dibekukan tanpa makluman awal.

Mengibarkan bendera China dan Sepanyol, penunjuk perasaan melaungkan “BBVA rasis” dan “kami mahu keadilan”, membawa sepanduk “hentikan rasisme perbankan”.

BBVA bank kedua terbesar di Sepanyol tidak memberikan butiran lengkap berapa ramai pelanggan yang terjejas.

Dalam satu kenyataan, bank itu berkata ia membekukan akaun sebagai mematuhi langkah membanteras pengubahan wang haram, menambah ia sedang melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah itu.

Penunjuk perasaan berkata bank lain turut membekukan akaun rakyat China baru-baru ini, tetapi tidak sebanyak BBVA.

Semua bank meminta pelanggan melengkapkan butiran tentang cukai dan pendapatan sebelum membuka semula akaun itu.

“BBVA menyekat semua akaun rakyat China, dan rakyat Sepanyol berketurunan China,” kata Ding Li, seorang peguam berpangkalan di Madrid.

Katanya, bank tidak memberi sebarang amaran kepada pelanggan dan mengambil masa terlalu lama untuk memberi respons kepada pelanggan yang terjejas. – AFP, 15 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen