PEGUAM Sangeet Kaur Deo yang memfailkan saman pemula terhadap Ketua Hakim Negara Richard Malanjum yang gagal menjalankan tugasnya melengkapkan siasatan terhadap dua kes campur tangan kehakiman, hari ini memuji keberanian Hakim Hamid Sultan Abu Backer mendedahkan mengenai rasuah dalam kehakiman.
Dalam afidavitnya setebal 63 halaman, Hamid, hakim di Mahkamah Rayuan, mendedahkan maklumat yang terperinci serta mengejutkan mengenai campur tangan hakim-hakim atasan untuk memastikan keputusan yang memihak kepada kerajaan.
Afidavit Hamid difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.
“Ini tidak pernah berlaku dan tindakan sangat berani oleh hakim Mahkamah Rayuan,” kata Sangeet dalam satu kenyataan hari ini.
Hamid katanya harus diberi perlindungan sepatutnya dan perlu diberi peluang untuk mendedahkan maklumat lanjut menerusi saluran siasatan rasmi.
“Pentadbiran semasa dan ketua hakim perlu segera menangani pendedahan mengejutkan dalam afidavit (Hamid) itu. Kegagalan berbuat demikian dengan sendirinya akan menjelaskan,” kata Sangeet.
Beliau juga menggesa Badan Peguam bertindak atas pendedahan Hamid itu, sambil menambah tindakan presiden Majlis Peguam yang terus berdiam diri atas isu melibatkan integriti badan kehakiman Malaysia adalah mendukacitakan. – 15 Februari, 2019.
Komen