Juruterbang Kenya, 4 warga asing maut pesawat terhempas


Juruterbang rakyat Kenya dan empat penumpang warga asing maut selepas sebuah pesawat kecil yang dinaiki terhempas di bahagian barat Nairobi, kata polis. – Gambar EPA, 15 Februari, 2019.

SEORANG juruterbang rakyat Kenya dan empat penumpang warga asing maut selepas sebuah pesawat kecil yang membawa mereka dari kawasan rizab semula jadi terkenal Maasai Mara terhempas di bahagian barat negara itu, kata polis.

“Terdapat lima orang dalam pesawat itu dan tiada mangsa yang selamat,” kata Edward Mwamburi, ketua polis wilayah Rift Valley.

Beliau berkata pesawat Cessna itu dalam perjalanan dari Maasai Mara ke Lodwar berhampiran Tasik Turkana, yang juga popular dalam kalangan pelancong pada Rabu.

Perkhidmatan bantuan kecemasan dikejarkan ke lokasi kejadian.

Pada Jun tahun lepas, sebuah pesawat milik syarikat penerbangan FlySAX terhempas di pinggir kawasan pergunungan Aberdares dan menyebabkan 10 terbunuh.

Pada Oktober 2017, lima penumpang terkorban apabila sebuah helikopter terjunam ke dalam Tasik Nakuru manakala pada 2012, sebuah helikopter yang membawa Menteri Dalam Negeri George Saitoti telah terhempas, menyebabkan kesemua enam penumpang maut.

Nahas udara paling dahsyat di Kenya berlaku pada 2007 apabila penerbangan Kenya Airways dari Abidjan ke Nairobi melalui Douala terhempas di sebuah kawasan paya sejurus berlepas dan meragut nyawa kesemua 114 penumpang.

Pada 2000, satu lagi penerbangan Kenya Airways dari Abidjan ke Nairobi terhempas di Lautan Atlantik beberapa minit sejurus berlepas dan menyebabkan 169 maut manakala 10 lagi terselamat. – Bernama, 15 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen