Lawatan polis ke Turki diluluskan sebelum Pakatan ambil alih, kata PM


Alfian Z.M. Tahir

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin parti yang lain ketika sidang media di Yayasan Al Bukhary Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 15 Februari, 2019.

LAWATAN pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke Turki diluluskan sebelum Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya lalu, kata Dr Mahathir Mohamad.

“Kelulusan diberi sebelum kita ambil alih Putrajaya. Walaupun hasrat itu baik, tetapi tajaan syarikat terhadap lawatan itu tidak wajar,” kata perdana menteri yang juga pengerusi Bersatu selepas mesyuarat parti itu di Yayasan Al Bukhary di Kuala Lumpur.

Terdahulu bekas Ketua Polis Negara Musa Hassan berkata, tidak sesuai untuk pegawai polis menerima tajaan itu walaupun tujuan lawatan itu untuk mempelajari cara Tukri menangani masalah perjudian dalam talian.

“Di masa depan polis tidak sewajarnya menerima penajaan seperti itu kerana ia daripada syarikat penjudian yang mempunyai kepentingan sendiri.

Sebelum ini Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata, beliau memberi lampu hijau untuk lawatan itu kerana ia mendatangkan manfaat.

“Ia bukan tentang (beri peluang mengikut lawatan) kepada seseorang yang akan bersara tidak lama lagi. Kami tak berbuat demikian.

“Saya luluskannya sebab ia datangkan manfaat. Tetapi saya tak tahu berapa ramai pergi atau tiket apa yang mereka beli.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, wang untuk lawatan itu adalah daripada syarikat ramalan nombor Da Ma Cai dan diluluskan oleh Lembaga Penyelaras Malaysia.

Lawatan ke Istanbul itu melibatkan Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun dan 17 pegawai polis peringkat tinggi dilaporkan oleh Sarawak Report pada 10 Februari lalu.

Beberapa pegawai turut ditemani isteri.

Dalam laporan itu, kumpulan lawatan itu tinggal di sebuah hotel bertaraf lima bintang dan menaiki penerbangan kelas perniagaan. – 15 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen