SEORANG saksi memberitahu Mahkamah Koroner Shah Alam hari ini beliau jatuh di atas seorang anggota bomba selepas ditolak dalam rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman Seafield pada November lalu.
Kontraktor, S Suresh, 23, berkata beliau nampak anggota bomba itu dipercayai Muhammad Adib Mohd Kassim, duduk atas jalan bersandar di sebuah kereta.
“Orang ramai bertolak-tolak dalam rusuhan itu. Saya juga ditolak dan terjatuh atas anggota bomba itu,” kata Suresh.
Katanya, dia menahan dari terjatuh dengan meletakkan satu tangan di kereta itu dan sebelah tangan lagi di atas paha Adib.
Suresh berkata beliau ke tempat kejadian bersama tujuh lagi rakannya selepas membaca post di Facebook tentang serangan di kuil berkenaan sehari sebelum itu oleh kumpulan lelaki bertopeng dengan senjata. Beliau ke sana untuk memberi sokongan kepada kuil itu.
Katanya, ketika tiba di kuil itu ada ribuan orang sudah pun berkumpul.
“Mereka berdiri di sekeliling kuil. Saya kemudian pergi sembahyang dan ketika itu saya dengar letupan di luar kuil.
“Kami keluar dan nampak kereta terbakar,” katanya.
Suresh berkata beliau kemudian nampak jentera bomba mendekati kenderaan yang terbakar itu.
“Satu kumpulan kemudian segera menuju ke arah jentera itu. Seorang mula memecahkan cermin depan. Dan orang ramai mula menjerit ‘halau mereka’,” katanya.
Dalam kekecohan itu, beliau terdengar ada satu kumpulan menjerit dalam bahasa Tamil, “Jangan pukul, jangan pukul”.
Beliau kemudian nampak rakannya R. Narresh yang kemudian bertanya apa berlaku.
“Saya beritahu Narresh ada anggota bomba kena pukul. Kemudian dia pergi lihat apa yang sedang berlaku.”
Timbalan Pendakwa Raya Zhafran Rahim Hamzah kemudian bertanya Suresh mengapa beliau beritahu rakannya ada anggota bomba dipukul sedangkan beliau tidak menyaksikan insiden itu.
“Sebab saya dengar orang ramai jerit ‘jangan pukul, jangan pukul’.
“Saya juga ada seseorang cakap dalam Tamil: ‘bomba pun mereka nak pukul’.”
Suresh memberitahu mahkamah beliau kemudian nampak lima atau enam orang angkat Adib yang hanya memakai seluar bomba.
Narresh, yang turut memberi keterangan selepas itu memberitahu mahkamah beliau juga dengar ada sesetengah orang dalam khalayah itu menggesa supaya anggota bomba itu tidak dicederakan.
“Kumpulan itu kemudian pergi ke arah jentera dan berkata Jangan pukul, itu bomba, halau mereka, jangan bagi mereka turun’.”
Inkues itu diadakan susulan tiada dapatan konklusif dalam siasatan bagaimana Adib tercedera dalam kejadian rusuhan itu.
Adib dirawat di hospital selama tiga minggu sebelum meninggal dunia pada 17 Disember kerana paru-parunya gagal berfungsi.
Inkues bersambung semula Isnin. – 15 Februari, 2019.
Komen