Petisyen batal, Shabudin baharu masuk Bersatu kekal wakil rakyat Tasek Gelugor


Looi Sue-Chern

Petisyen itu sebelum ini difailkan Setiausaha Agung Bersatu Marzuki Yahya, yang menentang Shabudin Yahaya (tengah) pada PRU14 lalu tetapi kalah dengan beza 81 undi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Februari, 2019.

AHLI Parlimen Tasek Gelugor Shabudin Yahaya yang baru sahaja masuk Bersatu awal minggu ini selepas keluar Umno akan mengekalkan kerusinya selepas petisyen membantah keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 dibatalkan Mahkamah Pilihan Raya pagi tadi.

Petisyen itu sebelum ini difailkan Setiausaha Agung Bersatu Marzuki Yahya, yang menentang Shabudin pada PRU14 lalu tetapi kalah dengan beza 81 undi.

Peguam Marzuki, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata kedua-dua pihak sepakat tidak meneruskan petisyen pilihan raya itu.

“Hari ini, pengurusan kes untuk petisyen. Seperti yang anda maklum, kami sebelum itu mengkaji Borang 14 (mengandungi jumlah undi diterima calon di setiap pusat mengundi) untuk mengkaji keputusan pilihan raya.

“Selepas mengkajinya, kami- termasuk peguam Shahbudin, Simon Tan- memutuskan yang lebih baik batalkan petisyen.

“Mempertimbangkan situasi dan aspek tertentu kes, lebih baik untuk tidak teruskan petisyen bagi menjimatkan kos dan masa mahkamah,” katanya kepada wartawan di mahkamah.

Hakim Mahkamah Pilihan Raya Hashim Hazmah mengumumkan pembatalan petisyen dan Shabudin kekal sebagai ahli Parlimen Tasek Gelugor, mewakili parti baharunya, Bersatu.

Shabudin adalah salah seorang daripada tujuh ahli Parlimen Umno, yang berpaling tadah dan diterima masuk Bersatu oleh Pengerusi Dr Mahathir Mohamad awal minggu ini.

Marzuki, yang merupakan timbalan menteri luar sebelum ini dilaporkan berkata yang beliau akan meneruskan petisyen itu walaupun Shabudin sudah jadi rakan separti. – 15 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen