Seni perlu dipandu moral, agama, kata mufti Pulau Pinang


Looi Sue-Chern

Mufti Pulau Pinang Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata seni hiburan tak perlu disempitkan untuk kebebasan melulu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Februari, 2019.

SENI hiburan sepatutnya dipandu moral dan nilai agama, atau ia hanya membawa manusia ke arah kemusnahan, kata Mufti Pulau Pinang Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata, seni termasuklah teater tidak hanya boleh jadi sekadar luahan artistik.

Ulasan itu dibuat selepas sebuah teater sempena Hari Valentine di Penang Performing Arts Centre (penangpac) dibatalkan selepas beberapa kumpulan konservatif agama menyifatkan persembahan itu sebagai menghina Islam.

Wan Salim berkata, Malaysia memang menggalakkan “kebebasan, keterbukaan dan penyuburan sikap inklusif kerana kita yakin semua ini mampu memacu negara ke arah kemajuan dan ketinggian.”

Tetapi, menurutnya, tidak wujud keperluan untuk mengetengahkan hanya cinta sempit ke arah kebebasan melulu.

“Tak payahlah ditonjolkan cinta yang menjurus kepada kebebasan yang melulu, sebaliknya perlu ditampilkan cinta dalam pengertiannya yang luas mencakup cinta Ilahi, cinta alam sekeliling, cinta ibu bapa, cinta kepada negara dan cinta kepada sesama manusia seluruhnya.

“Sesungguhnya dunia seni amat luas dan indah. Kenapa harus disempitkan dalam batas seksual sahaja?,” katanya.

Malam tadi, sebuah kumpulan Islam melakukan bantana di penangpac, tempat teater itu dipersembahkan, mengecam agensi kerajaan termasuklah jabatan agama dan polis kerana didakwa tidak buat kerja.

Kumpulan itu membantah persembahan teater karya Fa Abdul itu, yang dakwa mereka tidak menghormati Islam dan mempromosi seks bebas dan LGBT.

Kekecohan teater itu mula timbul selepas namanya cetuskan kekeliruan, pada mulanya dinamakan sebagai “Sex In Georgetown City” sebelum ditukar kepada “Love in Georgetown City” selepas mendapat bantahan.

Penulisnya, Fa Abdul, bagaimanapun menafikan karyanya mempromosi seks bebas dan LGBT, sebaliknya adalah komedi tentang isu masyarakat.

Susulan protes malam tadi, polis menasihatkan penangpac untuk membatalkan persembahan bagi meredakan kekecohan, walaupun pihak berkuasa yang menonton persembahan malam tadi merasakan tidak ada yang salah dalam kandungan teater itu.

Nasihat polis itu diikuti oleh penangpac, yang menurut Pengurus Publisiti Alexander Ooi adalah boleh difahami bagi mengelak kekecohan berlanjutan.

Menurutnya, penangpac memutuskan membatalkan semua persembahan teater itu bagi membantu meredakan keadaan. – 15 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen