Guaido lawan Maduro gaya millennial


Juan Guaido hebat menggunakan media sosial, walaupun bukan pemidato yang berdegar-degar, usianya yang baru 35 tahun juga memikat kumpulan millennial Venezuela. – Gambar AFP, 15 Februari, 2019.

SWAFOTO terbaru Ketua Pembangkang Venezuela Juan Guaido di Instagram mendapat separuh juta likes. Malah, akaun anjing beliau pun mempunyai 30,000 pengikut.

Presiden Nicolas Maduro mungkin menganggap pemimpin berusia 35 tahun itu sebagai “budak main politik”- tetapi pakar mengatakan status milenialnya memberikan kelebihan berbanding pemimpin sosialis separuh abad itu.

“Saya akan berswafoto supaya mereka boleh nampak muka awak…saya mahu mereka nampak muka penuh harapan dan keseronokan,” kata Guaido pada protes besar-besaran Selasa lalu, disambut sorakan meriah penyokongnya yang mengibarkan bendera Venezuela.

Pemimpin yang mengisytiharkan dirinya sebagai presiden sementara itu jarang dikenali sebelum awal tahun ini. Tetapi, jumlah pengikutnya melonjak kepada tiga juta di Instagram dan 1.2 juta di Twitter- naik empat kali ganda dalam kurang sebulan- membuktikan Guaido adalah selebriti dikenali ramai di Venezuela.

“Juan Guaido adalah generasi millennial,” kata Andres Canizales, pakar komunikasi politik.

“Beliau hebat di media sosial, beliau mampu nampak tulen, bersimpati, memperbaiki dan menunjukkan dirinya yang sebenar,” tambahnya.

Ketika himpunan, Guaido seperti bintang rock. Pengikutnya mengikutnya ke mana-mana untuk bergambar, berpelukan atau sekadar bersalaman dengan pemimpin itu.

Imej bapa muda yang segak dan bergaya itu, jauh berbeza daripada imej Maduro berusia 56 tahun yang bermisai tebal

Maduro juga aktif di media sosial tetapi “beliau tak lagi ada inisiatif politik dan hanya mempertahankan diri,” kata pakar politik Luis Salamanca.

Kerajaan Maduro menuduh Guaido menjadi boneka Washington- tetapi ketua pembangkang itu terus membangkitkan isu pemimpin partinya, Leopoldo Lopez yang jadi tahanan rumah sejak 2017.

Sentiasa segak memakai suit, berbeza dengan Maduro yang sering memakai uniform tentera- Guaido sering memberi ucapan dan wawancara bersebelahan bendera Venezuela, yang dibawa penyokongnya ke mana-mana.

Beliau juga sering melakukan jelajah dengan motosikal, seperti Selasa lalu.

Ketika beliau mengambil alih kedudukan presiden Dewan Negara- salah satu daripada lima cabang kerajaan Venezuela dikawal pembangkang- pada 5 Januari lalu, beliau naik ke podium bersama isterinya, Fabiana Rosales dan anak perempuannya berusia 20 bulan.

Sumber rapat dengan Guaido memberitahu AFP yang beliau masuk kelas untuk menambah baik kefasihannya, imej dan adabnya, walaupun beberapa bulan sebelum itu tidak fasih membuat pengucapan umum.

“Beliau cepat belajar, tetapi beliau bukan pemidato hebat—walaupun saya rasa negara ini sudah bosan dengan pemidato berdegar-degar,” kata Canizales.

Maduro- seperti Chavez- dikenali kerana ucapannya penuh retorik bombastik, walaupun sering mengitar semula idea.

Ucapan Guaido pula lebih praktikal- tidak berbunga dan berdegar-degar- kata Salamanca.

“Kunci kepada imejnya adalah faktor kejutan dan cabaran langsung dibuat kepada kuasa Maduro. Disitulah terletak kekuatannya.” – AFP, 15 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen