DUA orang awam yang menyaksikan rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman Seafield November lepas, dijangka memberi keterangan pada inkues kematian Muhammad Adib Mohd Kassim yang masuk hari kelima.
Setakat ini, tiada saksi yang dapat mengatakan mereka melihat Adib dibelasah atau dilanggar trak bomba yang berundur- dua kemungkinan disiasat polis.
Ada yang memberitahu Mahkamah Koroner yang mereka mengandaikan Adib dipukul, kerana situasi kelam kabut, ada juga yang mendedahkan tiada komunikasi antara anggota bomba yang berada di tempat kejadian dan anggota bomba juga diberi amaran perusuh supaya tidak memadamkan kebakaran berhampiran kuil.
Satu-satunya saksi orang awam berkata beliau melihat Adib duduk di bahu jalan memegang dadanya sebelum dibawa ke hospital.
Inkues itu yang sedang diadakan di Mahkamah Koroner Shah Alam diarahkan dilakukan kerana tiada bukti kukuh ditemui dalam siasatan punca kecederaan Adib dalam rusuhan November lalu.
Adib dirawat di hospital selama tiga minggu, dan walaupun pada mulanya mula menunjukkan tanda-tanda pulih dan sedar, meninggal dunia pada 17 Disember lepas.
The Malaysian Insight membawakan lintas langsung prosiding hari ini:
1pm: Inkues berhenti dan akan bersambung Isnin.
12.45pm: Naresh memberitahu koroner bukan semua orang yang meluru ke trak bomba menyerag ahli bomba.
Katanya, beliau nampak seseorang memecahkan cermin sementara yang lain membaling botol air mineral.
“Kumpulan yang berjalan menuju ke trak cakap ‘Jangan pukul, itu bomba, halau mereka, jangan bagi mereka turun’.”
DPP kemudian bertanya kepada Naresh jika beliau nampak orang lain menyerang trak bomba.
Naresh kata beliau nampak orang cuba membuka pintu dan memanjat trak.
12.20 pm: Inkues diteruskan dengan saksi kesembilan, R Naresh mengambil tempat.
Beliau memberitahu koroner yang sebab beliau ke kuil adalah selepas diberitahu rakannya yang ada masalah di sana.
“Ramai orang di sana. Kami kemudiannya masuk ke kuil.
“Bila kami keluar kami nampak polis berada di kuari bersebelahan kuil dan kereta peronda.”
11.40 am: Suresh kemudian berkata beliau dan kawan-kawannya pergi ke hospital untuk memeriksa keadaan Adib.
Katanya, mereka diberitahu doktor yang keadaan Adib serius dan mereka perlu tunggu dan lihat perkembangan.
“Kami harap untuk dengar berita baik, sebelum kami pulang pada jam 4 pagi.”
Peguam keluarga Adib, Kamaruzaman kemudian bertanyakan Suresh selepas beliau jatuh di atas Adib apa yang berlaku.
Suresh berkata, beliau ditendang di bahu kanan.
Peguam bertanya berapa kali, Suresh kata sekali.
Suresh juga merasakan anggota bomba itu sudah tak sedarkan diri ketika beliau jatuh di atasnya.

11.15 am: DPP kemudian bertanyakan Suresh tentang mengapa beliau merasakan anggota bomba itu dipukul sedangkan tidak melihat kejadian tersebut.
Suresh menjawab, beliau memberitahu Naresh andaian itu kerana mendengar orang ramai menjerit “jangan pukul, jangan pukul”.
“Saya kemudian dengar ada orang kata dalam Tamil yang ‘bomba pun mereka nak pukul’.”
Suresh berkata ketika itulah beliau melihat lima hingga enam orang membawa Adib pergi.
DPP bertanya tentang pakaiannya.
Suresh berkata kasut dan bajunya hilang dalam kekecohan itu, dan beliau hanya memakai seluar.
10.50 am: Suresh memberitahu koroner yang orang ramai mula bertolak-tolak dan beliau terjatuh.
Katanya, beliau jatuh ke atas kaki orang yang bersandar di kereta itu.
“Saya kemudian perasan yang orang itu memakai uniform bomba.”
Suresh kemudian beritahu kawannya, Naresh yang bertanya apa yang berlaku kepadanya.
“Saya beritahu Naresh yang seorang anggota bomba dipukul. Dan kemudian dia pergi untuk tengok apa yang berlaku.”
10.35 am: Ketika rusuhan berlaku, Suresh memberitahu koroner beliau mendengar sekumpulan orang menjerit “jangan pukul, jangan pukul” dalam Bahasa Tamil.
Katanya, terdapat antara 20 hingga 30 orang menjerit “jangan pukul”.
“Saya kemudian pergi dekat untuk tengok apa yang berlaku dan saya nampak seseorang di atas jalan bersandar pada kereta.
“Saya tak nampak dengan jelas apa yang berlaku kerana gelap.”
10.25 am: Ketika mereka mendekati kenderaan terbakar itu, Suresh memberitahu koroner yang trak bomba juga sampai di tempat kejadian.
Suresh berkata beliau berada di depan trak itu ketika ia sampai, tetapi siren kecemasan tidak dibunyikan.
DPP bertanya adakah lampu kecemasan dinyalakan, Suresh jawab ya.
Suresh kemudian memberitahu sekumpulan orang kemudiannya mula menyerang trak itu.
“Ada seorang yang menggunakan batang besi dan memecahkan cermin depan. Ada juga melompat dan cuba memukul trak itu.”
DPP bertanya Suresh jika ada orang lain dalam kumpulan itu membawa kayu atau batu.
Suresh berkata, beliau tak pasti dan tak ingat.
10.15 am: Suresh kemudian memberitahu koroner tentang letupan dan kereta terbakar ketika rusuhan.
Katanya, selepas bersembahyang, beliau dan kawan-kawannya mendengar letupan kuat.
“Kami keluar dan nampak kereta terbakar. Kami berada lebih kurang 5 meter daripada kereta yang terbakar itu.”
DPP bertanya Suresh tentang keadaan di kuil ketika itu.
Suresh berkata tidak ramai orang dalam kuil.
10.00 am: Suresh yang tidak pernah pergi ke kuil itu sebelum ini memberitahu koroner yang beliau pergi untuk tengok keadaan dan bersembahyang.
DPP bertanyakan kepada Suresh jika beliau adalah pengunjung kuil dan pernah bersembahyang di situ ebelum ini.
Suresh menjawab tidak.
DPP bertanya Suresh jika 27 November adalah kali pertama beliau ke kuil.
Beliau menjawab ya.
9.45 am: Inkues bersambung dengan saksi kelapan, kontraktor N Suresh dipanggil ke kandang saksi.
DPP Zhafran Rahim Hamzah bertanya kepada Suresh sama ada beliau pergi ke kuil pada 27 November.
Suresh berkata beliau pergi ke sana bersama-sama tujuh orang yang lain selepas melihat catatan di Facebook tentang kejadian yang berlaku di kuil itu.
“Saya ke sana selepas tengok catatan FB untuk tunjuk sokongan kepada kuil.”
12.45pm: Naresh memberitahu koroner apabila orang ramai pergi ke arah trak bomba tidak ada seorang daripada mereka pun mencederakan anggota bomba.
Dia berkata dia hanya melihat seorang memecahkan cermin depan dan yang lain mencuba membaling botol air mineral.
“Kumpulan yang mendekati trak bomba itu bercakap ‘jangan pukul itu bomba’.
“Halau mereka, jangan bagi mereka turun.
DPP bertanya kepada Naresh sama ada dia melihat orang lain yang menyerang trak bomba itu.
Naresh berkata, dia melihat orang cuba membuka pintu dan memanjat trak.
Inkues ini berakhir dan akan disambung semula Isnin ini. – 15 Februari, 2019.
Komen