SEKURANG-KURANGNYA 100,000 bayi maut setiap tahun kerana konflik bersenjata dan kesannya, daripada kebuluran sehinggalah tidak menerima bantuan, kata Save the Children International pada Jumaat.
Dalam 10 negara paling teruk dilanda konflik, dianggarkan 550,000 bayi maut kerana pertempuran antara 2013 hingga 2017.
Punca kematian dalam perang itu termasuklah kebuluran, kerosakan hospital dan infrastruktur, kekurangan akses penjagaan kesihatan dan kebersihan serta dinafikan bantuan.
Katanya, kanak-kanak berdepan ancaman terbesar dibunuh atau dicacatkan, direkrut kumpulan bersenjata, diculik atau jadi mangsa keganasan seksual.
“Hampir satu daripada lima kanak-kanak yang tinggal dalam kawasan terjejas konflik- lebih daripada bila-bila masa sejak dua dekad lepas,” kata CEO Helle Thorning-Schmidt dalam satu kenyataan.
“Jumlah kanak-kanak yang dibunuh atau dicacatkan naik lebih tiga kali ganda dan kita menyaksikan peningkatan membimbangkan penggunaan bantuan sebagai senjata perang,” katanya ketika mengeluarkan laporan di Persidangan Keselamatan Munich.
Save the Children berkata kajian itu diminta Institut Kajian Keamanan di Oslo mendapati 420 juta kanak-kanak tinggal dalam kawasan berkonflik pada 2017.
Jumlah ini adalah 18% daripada jumlah kanak-kanak dunia dan meningkat 30 juta berbanding tahun lepas.
Negara paling teruk berkonflik ialah Afghanistan, Kongo, Iraq, Mali, Nigeria, Somalia, Selatan Sudan, Syria dan Yaman.
Jumlah kematian kerana kesan tidak langsung dalam tempoh lima tahun meningkat kepada 870,000 termasuk semua kanak-kanak bawah lima tahun, kata badan itu.
Ia juga menyenaraikan beberapa cadangan untuk perlindungan kanak-kanak termasuk meletakkan umur minimum 18 tahun untuk rekrut tentera dan mengelak penggunaan bahan letupan dalam kawasan padat penduduk.
Thorning-Schmidt berkata jumlah peningkatan kanak-kanak maut sangat membimbangkan.
“Sangat mengejutkan yang dalam kurun ke-21 pun kita terkebelakang dalam prinsip dan standar moral yang sangat mudah- kanak-kanak dan orang awam tidak boleh jadi sasaran perang.” – AFP, 15 Februari, 2019.
Komen