WALAUPUN diberi nama baharu, Love in Georgetown City, dibatalkan selepas persembahan malam pertamanya kerana bantahan persatuan Islam setempat.
Jaringan Muslimin Pulau Pinang hadir di Penang Performing Arts Centre (penangpac) di Straits Quay malam tadi ketika persembahan karya Fa Abdul itu dipertontonkan sempena Hari Valentine.
Beberapa pemimpinnya membuat ucapan penuh emosi mengecam teater yang pada asalnya bertajuk “Sex in Georgetown City” itu, Fa dan penangpac. Mereka juga menuduh pihak berkuasa kerajaan seperti jabatan agama dan polis gagal menjalankan tugas menghalang teater itu dipentaskan.
Seorang jurucakap penangpac berkata polis bertemu mereka selepas persembahan tamat dan meminta jadual persembahan seterusnya dibatalkan.
“Kami terpaksa batalkan persembahan.
“Mereka (polis) tengok dan mereka okay dengan kandungannya. Tetapi, mereka harapan kami boleh bantu mereka tenangkan keadaan untuk situasi menang-menang,” katanya kepada The Malaysian Insight menerusi mesej pesanan ringkas.
Jurucakap itu menambah yang Fa akan mengeluarkan kenyataan tidak lama lagi.
Tiket teater itu hari ini habis dijual dan sepatutnya ditayangkan sehingga Ahad ini.
Protes bermula dengan puluhan orang yang mula-mula sampai di penangpac sebelum lebih ramai muncul, termasuklah Presiden Jaringan Melayu Malaysia Azwanddin Hamzah.
Tetapi situasi terkawal, walaupun pemimpin kumpulan itu menjerit-jerit menuduh Islam tidak dihormati dan seks bebas serta LGBT dipromosi melalui seni. ‘
Polis mengawal ketat penangpac ketika protes, yang turut disiarkan secara langsung di Facebook selama hampir sejam. Beberapa pegawai polis turut masuk ke dalam penangpac untuk menonton persembahan, yang tiketnya habis dijual malam tadi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut Che Zamani Che Awang mengesahkan yang polis menasihati penangpac supaya tidak meneruskan persembahan itu.
Beliau turut mengesahkan persembahan itu tidak mempunyai adegan lucah dan hanyalah komedi.
Jika terdapat adegan lucah, katanya, polis sendiri akan menghentikan persembahan.
“Penerbit persembahan buat silap dengan promosi dengan cara bagi gambaran ia mengandungi kelucahan. Disebabkan kekeliruan itu, wujud tak puas hati yang maksiat dipromosi.
“Teater itu dinasihati supaya tak teruskan persembahan kerana kesilapan dan kekeliruan yang timbul,” katanya dalam satu kenyatan media pagi ini.
Che Zamani yang turut berada di penangpac malam tadi untuk memantau protes, berkata beliau sudah meminta Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), pihak berkuasa yang bertanggungjawab ke atas lesen premis hiburan, untuk berbincang dengan penangpac dan polis.
Katanya, terpulang kepada pihak berkuasa perlesenan untuk menghentikan persembahan atau tidak.
“Polis akan terus memantau perkara ini,” tambahnya.
Karya Fa menimbulkan kecoh awal minggu ini selepas tajuk awalnya menimbulkan rasa tak puas hati sebilangan orang Islam di media sosial, menyebabkan banyak tuduhan liar ke atasnya mula tular.
Beliau mengubah tajuk karyanya, meminta maaf dan membuat laporan polis selepas mengetahui protes akan diadakan untuk membantah persembahan itu.
Fa menjelaskan karyanya bukanlah filem lucah yang didakwa pengkritik.
Karya itu adalah karya komedi, dengan 10 adegan durasi lapan minit setiap satu untuk mendidik khalayak tentang isu sosial termasuklah hubungan antara kaum, perkauman, pedofilia, dan kecurangan menerusi hiburan.
Katanya juga, beliau tidak berniat menyinggung sensitiviti agama atau budaya melalui karyanya.
“Ia bukan devian atau ambil peluang, sebaliknya cerminan cabaran dan ketidakselarian budaya kita,” katanya. – 15 Februari, 2019.
Komen