SEORANG wakil rakyat Slovenia meletak jawatan pada Khamis kerana mencuri sekeping sandwich dari sebuah pasar raya kerana jelik tidak dilayan kakitangan.
Darij Krajcic, ahli Parlimen parti Marjan Sarec List (LMS)- parti lama dalam pakatan pemerintah- berkata beliau keluar dari kedai tanpa membayar kerana kakitangan pasar raya melayannya “seperti udara” dan sibuk berborak.
“Saya rasanya berdiri lebih tiga minit di kaunter,” katanya kepada POP TV.
Krajcic bertegas yang beliau kembali tidak lama kemudian untuk membayar sandwich itu.
Beliau kemudiannya meminta maaf dan meletak jawatan daripada kerajaan.
LMS adalah parti Perdana Menteri Marjan Sarec, parti lama dalam kerajaan pakatan lima parti minoriti yang naik kuasa September lalu.
Sokongan rakyat kepada perdana menteri melonjak baru-baru ini selepas usaha menaikkan gaji sektor awam dan penyingkiran dua menteri yang didakwa salah guna kuasa dan membuli.
Ketua kumpulan LMS di Parlimen Brane Golubovic, mengecam tindaka Krajcic, menyifatkannya sebagai “tak boleh diterima” dan selaku ahli Parlimen “perlu bertanggungjawab selari dengan standard etika LMS yang tinggi”. – AFP, 15 Februari, 2019.
Komen