ARGENTINA, Chile, Paraguay dan Uruguay akan menghantar bidaan bersama tuan rumah Piala Dunia 2030, umum Presiden Chile Sebastian Pinera pada Khamis.
Argentina, Paraguay dan Uruguay sudah menghantar bidaan bersama untuk menjadi tuan rumah temasya sukan terkenal dunia itu, tetapi Pinera menerusi Twitternya berkata presiden ketiga-tiga negara itu sudah bersetuju untuk membenarkan penglibatan Chile dalam “pencalonan bersama” itu.
Argentina dan Uruguay pada mulanya mengumumkan hasrat menghantar bidaan bersama pada 2017, sebelum Paraguay menyertai hasrat itu tahun yang sama.
Pada Disember tahun lepas, Presiden Bolivia yang gila bola, Evo Morales turut menawarkan bantuan kepada ketiga-tiga negara itu dalam bidaan mereka, mencadangkan “dua atau tiga jabatan sebagai sub kerusi” untuk pertandingan itu.
Sekiranya tawaran itu diterima, ia bermakna Stadium Hernando Siles Reyes di La Paz bakal menjadi antara tempat pertandingan.
Pinera berkata beliau membentangkan idea kongsi bidaan itu kepada presiden Argentina, Paraguay dan Uruguay selama beberapa bulan.
Uruguay adalah tuan rumah dan johan Piala Dunia 1930, Chile adalah tuan rumah 1962 dan Argentina pula menang Piala Dunia 1978.
Seperti Morales, Presiden Mauricio Macri (Argentina), Tabare Vazquez (Uruguay) dan Mario Abdo Benitez (Paraguay) semuanya gila bola dan pernah menjadi presiden kelab bola sepak negara masing-masing.
Pinera pula adalah hartawan perniagaan yang memulakan kerjaya sebagai guru dan tiada pengalaman berkaitan bola sepak.
Negara Amerika Selatan itu berdepan cabaran hebat Maghribi dan beberapa gabungan bidaan lain termasuklah Britain dan Ireland, serta gabungan negara Eropah Timur- Greece, Serbia, Bulgaria dan Romania.
Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez juga bercadang membuat bidaan bersama dengan Maghribi yang sudah lima kali gagal membida jadi tuan rumah Piala Dunia, bersama-sama Portugal. – AFP, 15 Februari, 2019.
Komen