Bekas jurutera Coca-Cola didakwa curi rahsia dagang


You Xiaorong didakwa mencuri rahsia untuk pakej bebas-BPA yang berharga dimiliki secara bersama oleh beberapa syarikat bernilai lebih AS$120 juta. – Gambar AFP, 15 Februari, 2019.

SEORANG bekas jurutera kanan Coca-Cola didakwa pada Khamis di Tennessee kerana mencuri rahsia sulit perdagagangan bernilai AS$120 juta untuk diberikan kepada sebuah syarikat China, umum Jabatan Kehakiman.

Warga AS You Xiaorong didakwa mencuri rahsia untuk pakej bebas-BPA yang berharga dimiliki secara bersama oleh beberapa syarikat, termasuk sebuah bekas syarikat “di Atlanta” yang tidak dinamakan dalam kertas pertuduhan.

Jurucakap Coca-Cola, yang berpangkalan di Atlanta, enggan mengulas kes tersebut tetapi mengesahkan You pernah bekerja untuk syarikat itu.

“Kerana ini adalah kes yang sedang dibicarakan, tak wajar untuk kami ulas lanjut,” katanya.

Menurut kertas pendakwaan, You berpakat dengan seorang warga China Liu Xiangchen dan seorang saudara Liu yang tidak dinamakan untuk mencuri formula lapisan pembungkusan makanan yang bebas bahan kimia bisphenol-A, yang saintis percaya memberi kesan buruk kepada kesihatan manusia.

Alternatif kepada BPA sukar ditemui dan sangat berharga dalam industri pembungkusan makanan.

Liu mahukan teknologi itu untuk syarikatnya, yang merancang membangunkan pengeluaran pembungkusan bebas BPA, menurut kertas pendakwaan.

Balasannya, dia menawarkan You kerja dan berjanji membantunya menang salah satu anugerah tertinggi China untuk penyelidikan dan inovasi, anugerah “Ribuan Bakat”.

Anugerah berprestij itu diberikan kepada warga China yang belajar atau bekerja di luar negara dan pulang ke negara itu membawa bersama mereka teknologi canggih yang boleh membantu kemajuan China.

Pegawai perisikan AS berkata program itu juga bermatlamat menggalakkan warga China di luar negara untuk mencuri teknologi dan membawanya pulang ke China.

You “dituduh dengan pertuduhan rompakan terancang dan pemindahan rahsia perdagangan bernilai lebih AS$100 juta untuk mewujudkan syarikat China yang boleh bersaing dengan syarikat Amerika yang dicuri rahsia itu,” kata J Douglas Overbey, Peguam Negara untuk Wilayah Barat Tennessee.

“Malangnya, China terus menggunakan program nasionalnya, seperti ‘Ribuan Bakat”, untuk membenarkan dan memberi ganjaran pencuri rahsia perdagangan dan harta intelek negara kita.” – AFP, 15 Februari, 2019.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen