Demi pembangunan, hidupan liar kita jadi mangsa


Melati A. Jalil

Gajah kerdil Borneo antara spesis berharga dan unik kepada Malaysia kini berdepan ancaman kepupusan. – Gambar AFP, 3 September, 2017.

WALAUPUN begitu banyak kemajuan yang dicapai Malaysia dalam tempoh 60 tahun ini, negara juga kehilangan khazanah tidak ternilai- hidupan liar kita. Situasi ini mungkin bertambah buruk sekiranya tidak wujud usaha pemuliharaan dan pemeliharan yang dilakukan sejak beberapa dekad lepas, kata Ketua Pegawai Eksekutif WWF-Malaysia, Dr Dionysius Sharma.

WWF menganggap haiwan seperti Harimau Malaya, Orangutan Borneo dan Gajah Borneo sebagai spesis “kemegahan” Malaysia tetapi kini berdepan bahaya kepupusan disebabkan pemburuan haram, kehilangan habitat kerana pembangunan tidak terancang, peluasan tanah pertanian dan pengecilan hutan.

Malah, 14% haiwan Malaysia disenaraikan International Union for Conservation of Nature (IUCN) sebagai spesis terancam, kata Sharma yang juga merupakan pengarah eksekutif WWF-Malaysia kepada The Malaysian Insight apabila diminta untuk menilai keadaan khazanah hidupan liar negara sejak dalam tempoh 60 tahun ini.

“Ancaman terbesar kepada harimau kita adalah pemburuan dan perdagangan hidupan liar haram. Ia adalah jenayah terancang yang mengancam kewujudan banyak spesis disebabkan ekploitasi melampau, seterusnya menyebabkan haiwan ini dikategorikan sebagai ‘Sangat Terancam’ di bawah Senarai Merah Spesis Terancam IUCN.

“Malah, sebahagian spesies ini sudah pupus sama sekali disebabkan pemburuan haram,” kata Sharma yang merujuk kepada Harimau Malaya, spesis yang hanya terdapat di Semenanjung Malaysia.

Populasinya kini dianggarkan hanya sekitar 250 sehingga 340 ekor, berbanding 3,000 ekor yang wujud sekitar era 1950-an dahulu.

“Sementara itu, satu-satunya beruk besar Asia, dikenali sebagai Orangutan di Sabah juta sudah jatuh sehingga 11,000 ekor pada 2004,” katanya.

“Pada pertengahan 1980-an, populasi Orangutan yang hanya boleh ditemui di Borneo dan Sumatra adalah sekitar 20,000 ekor.

Sementara itu hanya 2,040 ekor gajah Borneo wujud di Sabah pada 2010, menurut kajian Raymond Alfred walaupun WWF menganggarkan hanya terdapat 1,500 ekor spesis gajah itu wujud pada masa sekarang. Juga dikenali sebagai gajah kerdil, ia adalah sub spesis gajah terkecil di Asia.

Jumlah spesis itu jatuh mendadak sekitar 1990-an dan 2000 di Sabah disebabkan penerokaan hutan yang punca utamanya disebabkan tindakan kerajaan negeri menebang hutan untuk menanam pokok kelapa sawit secara besar-besaran.

Menurut Sharma, kelangsungan kehidupan manusia juga bergantung kepada kewujudan spesis terancam ini kerana tanpa pemuliharaan, ekosistem akan terjejas yang memberi kesan kepada manusia.

Kepupusan hidupan liar di Malaysia berkadar terus dengan kehilangan hutan terutama sekitar 1983 hingga 2003. Dalam masa 20 tahun sahaja, terdapat pengurangan hutan seluas 4.9 juta hektar di Malaysia. Situasi ini juga dikatakan menyebabkan kepupusan burung merak hijau (Pavo miticus) yang mempunyai kaitan dengan penerokaan dan pembersihan hutan bagi mewujudkan ladang kelapa sawit.

Kajian yang diketuai Motoe Miyamoto bertajuk “Proximate and Underlying Causes of Forest Cover Change in Peninsular Malaysia” diterbitkan pada 2014 menyenaraikan peluasan tanah pertanian sebagai punca utama kepada kehilangan besar hutan negara ini.

Tindakan meneroka dan membersihkan hutan dimulakan bagi menghapuskan kemiskinan pada 1970-an ketika 53% penduduk Malaysia dikategorikan sebagai kumpulan miskin.

Dan apabila kadar kemiskinan menurun, malangnya kadar penghapusan hutan semakin meningkat, menurut kajian itu.

Pembasmian hutan mencapai kemuncaknya dalam tempoh 1970 hingga 1979, tetapi menurun pada 1980 sebelum kembali meningkat pada 1990 hingga 1999. Tempoh ini selari dengan penerokaan dan perubahan status tanah bagi penanaman kelapa sawit secara besar-besaran.

Kajian dilakukan David L.A Gaveau yang terbit pada 2017 mendedahkan penanaman tanaman komoditi itu menyebabkan kehilangan 2.47 hektar hutan di Malaysia dalam tempoh 40 tahun.

Pembasmian hutan di Borneo sejak 1973 juga mengatakan kawasan hutan di situ pada 1970 adalah 61% tetapi menurun kepada 44% pada 2010, menurut kajian bertajuk “What a different 4 decades make: Deforestation in Borneo since 1973”.

Di laut pula, Malaysia kehilangan penyu Belimbing yang juga merupakan penyu laut terbesar di dunia.

Pada 1950-an, sekitar 10,000 ekor penyu Belimbing naik ke pantai untuk bertelur tetapi sejak 2011 tiada lagi kehadiran penyu itu direkodkan.

“Populasi penyu Belimbing di Malaysia boleh dikatakan sudah pupus,” kata Sharma.

Satu lagi spesis, penyu Lipas juga berdepan nasib yang sama, jatuh 99.9% berdasarkan data yang dikeluarkan Jabatan Perikanan Malaysia.

“Hanya sedikit penyu Lipas yang kadang-kala naik ke pantai dan bertelur di Malaysia. Penyu berdepan dengan ancaman kehilangan habitat bertelur dan sumber makanan, kutipan telur haram untuk dijual, kematian disebabkan industri perikanan dan pencemaran, serta penangkapan penyu dewasa.

“Perdagangan itu kebanyakannya berlaku di Sabah, apabila penyu diburu dan telur diseludup masuk dari negara jiran ke Malaysia,” kata Sharma.

Disebabkan penyu Belimbing sudah pupus dan penyu Lipa pula sedang berdepan kepupusan, WWF-Malaysia kini mengubah fokus pemuliharaan penyu kepada dua lagi spesis penyu di negara ini, penyu karah/sisik dan penyu agar.

Dengan pengawalan yang dipertingkatkan ketika musim bertelur di Terengganu, lebih banyak telur penyu agar berjaya dikumpul untuk pengeraman, merekodkan peningkatan lebih daripada 40% sejak 25 tahun lepas.

Dalam isu yang sama, penyu karah yang terancam pula mengalami penurunan lebih daripada 90% sejak 20 tahun lalu. Populasi keseluruhan penyu karah juga jatuh di sebuah lagi tapak bertelur di Pulau Upeh, dikenali sebagai “pulau penyu” di Melaka.

Sharma berkata salah satu cabaran terbesar pemuliharaan penyu adalah kerja tebus guna tanah yang giat dilakukan di pesisir pantai Malaysia sejak 1950-an.

“Tetapi hanya pada 1990-an ia meraih perhatian awam. Cadangan tebus guna tanah di pantai barat Semenanjung Malaysia yang berdepan Selat Melaka mendatangkan kebimbangan.

“Kesannya termasuklah hakisan tanah pantai yang semakin cepat, pemendapan atau pengelodakan, dan kehilangan hutan bakau, terumbu karang dan tanah lumpur,” katanya. – 3 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen