SEKURANG-kurangnya 12 anggota tentera India terbunuh dalam serangan yang disifatkan sebagai paling buruk ke atas pasukan keselamatan kerajaan di Kashmir dalam tempoh lebih dua tahun, kata polis.
Mereka terbunuh selepas alat peletup buatan (IED) meletup ketika konvoi kenderaan tentera melalui lebuh raya kira-kira 20 kilometer dari bandar utama Srinagar.
“Sebuah IED meletup ketika konvoi CRPF (pasukan polis simpanan persekutuan) melalui kawasan itu,” kata pegawai kanan polis Munir Ahmed Khan kepada AFP.
“12 anggota CRPF kita terkorban. Kita akan memindahkan anggota yang cedera daripada lokasi.”
Agensi berita PTI India melaporkan jumlah kematian mencecah 18 orang.
Laporan media tempatan menyatakan kumpulan militan berpangkalan di Pakistan Jaish-e-Mohammed bertanggungjawab ke atas serangan itu.
Jurucakap kumpulan berkenaan berkata “serangan bunuh diri” itu dijalankan oleh Aadil Ahmad atau dinekali sebagai Waqas Commando, dalam satu kenyataan yang dihantar kepada akhbar tempatan. – AFP, 14 Februari, 2019
Komen