Putrajaya beri tambahan RM25 juta untuk sekolah agama rakyat dan persendirian


Nabihah Hamid

Menteri Kewangan Lim Guan Eng menyerahkan cek kepada Menteri Pendidikan Maszlee Malik pada satu majlis yang diadakan di Putrajaya hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 14 Februari, 2019

KEMENTERIAN Kewangan memberikan peruntukan tambahan RM25 juta untuk sekolah agama rakyat dan sekolah agama persendirian, yang akan disalurkan dengan keutamaan kepada sekolah yang ada potensi jadi sekolah berprestasi tinggi, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Menurut Maszlee, sekolah-sekolah berkenaan akan dikenal pasti oleh sebuah jawatankuasa di bawah kementeriannya.

Sekolah-sekolah berkenaan akan dikenal pasti berdasarkan tiga ciri iaitu prestasi, kualiti serta kesannya kepada pelajar, tambahnya.

“Ini adalah bagi membantu sekolah yang akan dikenalpasti nanti agar benar-benar memberi impak kepada anak di sekolah” kata Maszlee pada majlis penyerahan cek bantuan di pejabatnya di Putrajaya, petang tadi.

Cek bantuan itu diserahkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

“Ini kali pertama sekolah agama rakyat dan persendirian menerima dana daripada kerajaan persekutuan dan ia merupakan pemberian terus,” kata Lim dalam ucapannya.

Menurut Maszlee, meskipun sekolah agama rakyat dan sekolah agama persendirian tidak terletak secara langsung di bawah kementerian namun kerajaan sentiasa mahu membantu  sekolah yang berprestasi tinggi.

“Ia agar pendidikan yang dinikmati anak-anak kita benar-benar berkualiti dengan syarat ia berdaftar dan tidak dimiliki oleh parti politik atau ahli politik, selaras dengan matlamat kerajaan untuk memisahkan pendidikan dari pengaruh parti politik,” katanya lagi.

Lim dan Maszlee sebelum ini jadi sasaran kritik kerana bantuan kewangan kerajaan kepada sekolah persendirian Cina, yang didakwa satu lagi bukti Pakatan Harapan mengabaikan keperluan dan sentimen Melayu Islam dalam landskap baru politik Malaysia.

Antara bantuan yang dikritik termasuk sumbangan kerajaan kepada Kolej Universiti New Era, yang kemudiannya dijelaskan oleh Kementerian Pendidikan adalah bantuan langsung daripada Kementerian Kewangan. – 14 Februari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen