Bomba dihalang padam kebakaran, kata saksi


Noel Achariam

Saksi anggota bomba Sharol Anuar Kamarudin, 27, yang turut memberi keterangan dalam inkues bagi mengenal pasti punca kematian Muhammad Adib Mohd Kassim di Shah Alam, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 14 Februari, 2019

SESEORANG dalam kumpulan yang berhimpun ketika rusuhan di kuil Seafield menjerit kepada anggota bomba “jangan padam, pukul bomba”, mahkamah koroner didengar hari ini.

Itu yang dinyatakan oleh anggota bomba Sharol Anuar Kamarudin, 27 kepada mahkamah, yang mana katanya beliau tidak dapat mengenal pasti individu yang menjerit kata-kata itu kerana terdapat kira-kira 100 orang berkumpul di keliling kenderaannya.

Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan pada inkues bagi mencari punca kematian Muhammad Adib Mohd Kassim ketika bertugas untuk memadamkan kebakaran pada rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman Seafield November lalu.

Sharol merupakan antara rakan sepasukan Adib yang dihantar ke lokasi. Menurutnya, beliau mendengar orang menjerit apabila pasukannya mendekati kereta yang sedang terbakar.

“Apabila kami sampai, saya melompat keluar dari trak untuk mengambil hos. Ketika itulah ada tiga orang menghampiri trak.

“Ketika itu saya dengar seseorang menjerit beberapa kali ‘jangan padam, pukul bomba’,” katanya kepada inkues.

Sharol juga berkata beliau nampak senjata dalam kalangan perusuh.

“Saya menjadi takut dan terus melompat masuk ke dalam trak.

“Saya sedar keadaan semakin kecoh dan saya bimbang dengan keselamatan diri.”

Timbalan Pendakwa Raya Zafran Rahim Hamzah bertanya Sharil sama ada beliau dapat cam orang yang menjerit ke arah mereka.

Menurutnya, beliau tidak dapat mengenal pasti mereka kerana jeritan itu datang dari kumpulan besar.

“Terdapat kira-kira 100 orang yang menghampiri kami dari arah kuil,” katanya.

Sharol juga memberitahu koroner kenderaan kedua bomba dan penyelamat - Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) - dikepung oleh sekumpulan perusuh ketika trak sedang mengundur.

Terdahulu anggota bomba Mohd Hazim Mohd Rahimi memberi keterangan bahawa sekumpulan perusuh berlari ke arah trak dari kuil apabila beliau keluar dari trak untuk mengeluarkan hos.

“Saya lihat ada beberapa individu bersenjata yang pergi ke bahagian hadapan trak.

“Seseorang mengejar saya dan saya lari ke arah van EMRS. Saya buka pintu di sebelah kiri dan masuk bersembunyi di dalam van.

“Saya meniarap di tepi pengusung,” katanya.

Hazim juga berkata, beliau tidak nampak sesiapa termasuk Adib, meninggalkan van.

“Sekiranya Adib berada di luar van, sudah pasti saya nampak kerana beliau memakai seragam bomba.”

Inkues bersambung esok. – 14 Februari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen