MAJLIS Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberikan pengecualian sekatan kepada dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Perancis untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada kanak-kanak dan orang kurang upaya di Korea Utara.
Sebuah jawatankuasa PBB yang menguruskan sekatan ke atas Korea Utara memberikan pengecualian kepada Premiere Urgence Internationale (PUI) dan Handicap International lewat bulan lepas, lapor agensi berita Yonhap memetik laman web jawatankuasa itu.
Senarai barang yang diluluskan untuk Handicap International termasuk tongkat dan kerusi roda bernilai keseluruhan 233,362 euro (AS$263,300).
Sebelum ini, Handicap International pernah menerima pengecualian untuk projeknya mengurangkan risiko kecacatan kanak-kanak.
Senarai barangan yang diluluskan untuk PUI tidak didedahkan dan barangan itu akan digunakan bagi meningkatkan pemakanan kanak-kanak.
Kelulusan sah selama enam bulan dan setakat ini 12 NGO telah menerima pengecualian.
Aktiviti kemanusiaan tidak tertakluk di bawah sekatan kecuali bahan atau kelengkapan.
Pertubuhan bantuan mengatakan sekatan berbilang yang dikenakan ke atas Korea Utara adalah disebabkan program nuklear negara itu. – Bernama, 14 Februari, 2019.
Komen