YANG perlu dibela adalah kemanusiaan, bukan Tuhan. Namun, umat lebih gemar membela Tuhan berbanding saudaranya sendiri. Umat leka bergaduh isu ranting seperti tudung berbanding isu kemanusiaan – rela kedamaian dan kemanusiaan umat terus diratah dan ditindas.
Terbaru, umat beragama jadi tidak keruan gara-gara pelakon popular Emma Maembong memilih kebebasan tidak bertudung. Maka, gerombolan suara-suara Tuhan muncul konon demi menyelamatkan keimanan Emma.
Bertudung atau tidak, itu tidak sepenting ikatan persaudaraan Islam. Betapa kita gagal membuktikan ukhuwah Islamiah gara-gara isu khilaf hukum agama. Yang dilempar itu tudungnya, bukan kemanusiaannya. Janganlah gara-gara membuka tudung, kita buang kasih persaudaraan.
Namun, begitulah dunia Islam hari ini; kerana gagal mengawal emosi beragama, kita bazirkan tenaga dan masa dengan hal picisan seperti isu tudung. Hakikatnya ulama berbeza pandangan. Isu ijtihad pula bukan ketetapan mutlak.
Sedangkan isu umat sejagat jauh lebih besar menanti sumbangan kita – membela kemanusiaan dan kebajikan. Malangnya, kita bungkam sebaliknya riuh dengan isu tudung.
Taksub agama bunuh kemanusiaan
Tidak hairanlah sikap taksub beragama membunuh nilai kemanusiaan dan persaudaraan. Seolah-olah kepingin agama dijulang, nilai kemanusiaan diinjak.
Begitulah umat lebih cakna soal tudung dan keimanan Emma. Kita suka-suka menilai tinggi-rendahnya iman seseorang hanya kerana tudung. Kita pun mendoakan hidayah konon bukti tanda lemahnya iman Emma. Kelakar, ukuran kita terhadap keimanan bertudung lebih besar berbanding keresahan kita terhadap nasib malang kemanusiaan dan persaudaraan yang tertimpa umat dunia hari ini.
Eloklah kita nilai dan persoal iman sendiri terhadap perkara tersebut. Malangnya tidak. Kita hanya sibuk dan menyibuk atas urusan keimanan orang lain.
Akhirnya, kita hambur kata-kata kesat dan nista sesama saudara se-Islam hanya disebabkan hal khilafiah dalam fikah. Sekecil-kecil kuman seperti hal ranting kita riuhkan, sebaliknya isu kemanusiaan sebesar-besar gajah kita buat-buat tidak nampak.
Akhirnya, agama tampak mati akibat sikap jahil dan kebutaan mata hati kita.
Sedangkan, kata ilmuwan Islam di Amerika, Hamzah Yusuf, Islam agama kehidupan, bukan agama kematian. Orang beriman akan berjihad menyempurnakan kehidupan dengan memastikan keamanan dan keselamatan ke atas semua manusia. Bukan berjihad untuk kematian yang pastinya menghancurkan jaminan kedamaian dan persaudaraan.
Kita lebih rela hubungan kemanusiaan dinodai kata-kata dusta, jijik dan kekerasan atas alasan kononnya mempertahan hukum. Sedangkan kita lupa agama berdiri seiring dengan nilai kemanusiaan. Kerana cetek kefahaman beragama, kita penggal persaudaraan. Akhirnya agama yang kita junjung tidak seiring dengan pesan kemanusiaan junjungan agama.
Tautan dua imam besar
Sekalipun khilafiah, akibat kejahilan, kita jadi marah sekiranya hukum agama dilanggar. Lupakan kedamaian dan kemanusiaan, asalkan tidak sesekali menodai perintah Tuhan. Walau pahit, inilah kemunduran beragama yang sedang kita lalui hari ini.
Mujurlah Tuhan hadirkan sebahagian umat yang masih hauskan kemanusiaan. Seperti baru-baru ini, antara Pope Francis dan Imam Besar Al Azhar, Sheikh Ahmed Al Tayeb – menandatangani Human Fraternity Document atau Dokumen Persaudaraan Manusia di Founder’s Memorital di Abu Dhabi, Emiriah Arah Bersatu.
Lihatlah pesan di sebalik pertemuan itu. Yang kita gelar umat kafir (paus) itulah lebih dahagakan persaudaraan dan kemanusiaan seperti nasib umat kita di Yaman.
Tidak malukah kita yang mengaku umat beriman Nabi Muhammad seorang yang istiqamah dalam persaudaraan manusia sedangkan kita masih sibuk bergaduh hal tudung?
Saat dunia tanpa belas kasihan, perang dan kemusnahan jiwa dirobek, muncul Pope Francis dan Sheikh Ahmed Al Tayeb bertaut untuk mengingatkan kita akan pesan terbesar di dalam Al-Quran dan kitab suci agama lain – nilai persaudaraan kemanusiaan. Sebaliknya, sikap taksub kadangkala menjadikan agama sebagai pemutus tali persaudaraan.
Kita bercakaran dan memburukkan saudara kita atas perkara khilafiah sedangkan nabi mengajar umat berlumba mengejar kebaikan, bukan taasub agama. Seperti pesan Al-Quran di dalam surah al-Maidah 5:48.
Walhal, pesan inilah yang lebih utama berbanding isu tudung Emma – persaudaraan manusia. Umat tidak cakna lantas buat-buat lupa pesan terbesar Al-Quran.
Bukankah pesan itu diajar nabi kita Muhammad? Lupakah kita betapa Muhammad adalah nabi pembawa kedamaian? Tanyalah diri kita apakah kita benar-benar menyahut seruan Muhammad sekali gus pesan wahyu?
Bahkan nabi mengajarkan kasih sayang dan berdamai. Seperti hadis “kasihilah mereka yang ada di bumi, nescaya Allah akan mengasihimu.” (HR. Abu Daud dan Al-Tirmidzi).
Persaudaraan manusia sunah nabi
Meskipun pesan damai telah lama diperjuang nabi dan terpancar dalam Human Fraternity Document, umat masih leka dengan polemik khilafiah berbanding kemanusiaan. Pentingnya dokumen itu kerana ia menyeru semua pemimpin dunia untuk bekerjasama, berlumba ke arah kebaikan, melawan penindasan dan mengerat tautan persaudaraan semua agama – membina jambatan kedamaian.
Persaudaraan manusia adalah sunah. Semua agama menyeru umat supaya membina masyarakat dengan kepedulian, keadilan dan kebaikan. Begitu pentingnya menyikapi umat dengan kasih sayang dan pengampunan. Bahkan dokumen itu mirip usaha para nabi dan sahabat untuk membawa umat keluar dari penindasan termasuk menyebar budaya toleransi, mencegah pertumpahan darah, dan menoktahkan peperangan.
Walhal, kerja kemanusiaan bukanlah perkara baru, malah nabi telah fikirkan saat Piagam Madinah dicipta. Nabi mengadakan perjanjian atas dasar kesatuan dan kebebasan beragama dalam Piagam Madinah atau al-shahifah Madinah atau al-Misaq al-Madinah.
Begitu juga para sahabat, Imam Ali sebagai khalifah (wafat 660 M) menukilkan dalam sepucuk surat yang dikirim kepada gabenor Mesir, Al-Asytar an-Nakha‘i. Betapa agenda persaudaraan kemanusiaan merupakan bahagian terpenting dalam sejarah peradaban agama.
Jelaslah, pesan persaudaraan merupakan rantai perjuangan nabi dan umat yang soleh. Malangnya, kita melupakan pesan itu. Kita sangka mengecam Emma dan sibuk mendakwahkannya menjadikan kita kononnya insan paling beriman. Hakikatnya jauh tersasar.
Sebaliknya, umat menantikan kerja persaudaraan yang dirintis para nabi. Namun, kita gagal menyambung rantai perjuangan sebaliknya mencabik kemanusiaan hasil sikap gopoh dan buruknya kefahaman agama ciptaan kita sendiri. Walhal, semua orang perlu menghormati hak asasi manusia dan bergerak membangunkan kerjasama dengan semua orang.
Umat dahagakan kedamaian bukan tudung Emma. Kita tidak perlu sedih dan menangisi kekecewaan kerana gagal berdakwah untuk meyakinkan Emma soal tudung, itu kebebasan pilihannya.
Sebaliknya kita patut malu membiarkan aksi kekerasan, penindasan, kemiskinan berserakan. Justeru, umat harus menyambut seruan Human Fraternity Document. Umat seharusnya hauskan persaudaraan bukan meratapi tanggalnya tudung Emma.
Biarkan, hormatilah Emma dengan pilihannya. Kita pula, ayuh hayati inti pati dokumen itu. – 14 Februari, 2019.
* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen