MAHKAMAH Antarabangsa semalam memutuskan Iran boleh meneruskan usahanya mencairkan aset negara itu di Amerika Syarikat (AS), menolak dakwaan Washington kes itu perlu digantung kerana dakwaan bahawa Tehran menyokong keganasan antarabangsa.
Washington berkata, “tangan kotor” Iran merujuk kepada Tehran yang disyaki menyokong kumpulan militan, perlu menggugurkan saman untuk memiliki semula aset AS$2 bilion (RM8.1 bilion) yang dibekukan Mahkamah Agung AS pada 2016.
Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague menolak beberapa dakwaan AS, dan berkata ia berhak mengadakan sesi pendengaran penuh pada tarikh yang ditetapkan, sama ada Tehran akan mendapat semula wang mereka atau tidak.
Ketua Hakim Abdulqawi Ahmed Yusuf berkata mahkamah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menolak sebulat suara bantahan awal kepada kesahihan yang dibangkitkan AS.
Yusuf ketika membacakan keputusan berkata mahkamah juga mendapati ia mempunyai bidang kuasa dalam kes itu.
Tehran berkata AS secara tidak sah merampas aset kewangan Iran dan milik syarikat negara itu, dan penyelesaian kes itu kekal penting kerana Iran berdepan kesukaran ekonomi selepas sekatan dan kejatuhan mata wangnya.
Mahkamah Agung AS berkata Iran perlu memberi wang tunai kepada mangsa terselamat dan keluarga mangsa serangan yang dipersalahkan ke atas Tehran, termasuk pengeboman pada 1983 di berek Marin AS di Beirut dan pengeboman Menara Khobar di Arab Saudi pada 1996. – AFP, 14 Februari, 2019.
Komen