WARTAWAN Filipina, Maria Ressa di mana portal beritanya sering tidak sehaluan dengan Presiden Rodrigo Duterte, ditahan di pejabatnya di Manila semalam.
Pejuang kebebasan media menganggap tindakan itu sebagai “pendakwaan”.
Penahannya atas tuduhan “fitnah siber” adalah tindakan dramatik dalam kerajaan memberi tekanan untuk menjatuhkan Ressa dan laman webnya, Rappler, yang turut berdepan tuduhan lari daripada cukai yang mungkin boleh menyebabkan ia ditutup.
Ia susulan Duterte mengenakan kekerasan terhadap pengkritik berprofil tinggi di media yang berani membantah kempen anti dadahnya yang setakat ini menyebabkan ribuan orang terbunuh.
“Dia ditahan dan sudah dibacakan haknya,” kata pengasas bersama Rappler, Beth Frondoso.
Kemudian, Rappler menerusi Twitter mengumumkan Ressa terpaksa bermalam di Biro Siasatan Negara, unit yang menahannya, ketika peguamnya cuba mendapatkan ikat jamin di mahkamah.
Ressa, yang dinamakan sebagai “Person of the Year” pada 2018 oleh Time Magazine, meninggalkan pejabat Rappler dengan pegawai berbaju biasa dan dikelilingi oleh kamera.
“Kes itu mengarut dan tindakan mereka keluarkan waran tangkap itu satu kejahatan terhadap keadilan,” kata Ressa kepada wartawan selepas penahanannya.
“Inilah apa yang terpaksa dilalui wartawan di Filipina pada masa ini,” katanya.
Rappler mencetuskan kemarahan kerajaan kerana menyiarkan laporan yang kritikal terhadap “perang dadah” Duterte di mana pengkritik berkata kempen itu disasarkan kepada golongan miskin dan membawa kepada jenayah terhadap kemanusiaan. – AFP, 14 Februari, 2019.
Komen