TALIBAN semalam berkata perundingnya akan bertemu dengan duta Amerika Syarikat (AS) bagi mengadakan rundingan bulan ini di Islamabad, dan turut berbincang dengan Perdana Menteri Pakistan Imran Khan bagi membincangkan tentang Afghanistan.
Walaupun Islamabad tidak mengesahkan rundingan itu, Washington berkata ia tahu tentang pengumuman itu yang dibuat selepas beberapa minggu mesyuarat antara pegawai AS dan Taliban.
“Kami tidak akan berunding secara terbuka,” kata jurucakap Jabatan Dalam Negeri AS, menambah AS belum lagi menerima jemputan rasmi untuk sebarang perbincangan.
“Ini permulaan satu proses yang panjang di mana kami akan meneruskan kerja menerusi saluran diplomatik tertutup.”
Pengumuman itu dibuat ketika kunjungan ketua perunding AS ke seluruh dunia untuk mendapatkan sokongan kepada proses keamanan bagi mengakhiri perang paling lama itu.
Zalmay Khalilzad, bekas duta ke Afghanistan, mengadakan rundingan dengan militan itu pada bulan lalu di Qatar, di mana Taliban mempunyai pangkalan di situ.
Lebih banyak rundingan dijangka diadakan bulan ini.
Kenyataan Taliban berkata beberapa mesyuarat berasingan akan diadakan pada 18 Februari di Islamabad menerusi jemputan rasmi kerajaan Pakistan.
Mesyuarat di Doha akan diadakan seminggu kemudian pada 25 Februari.
Khalilzad mengetuai delegasi yang besar dalam kunjungan ke Belgium, Jerman, Turki, Qatar, Afghanistan dan Pakistan. – AFP, 14 Februari, 2019.
Komen