PUTRAJAYA sedang menyemak semula pembelian tanah bernilai RM323 juta oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia (Perkeso) pada Mac tahun lalu, selepas tindakan itu dipertikaikan kerana ia tidak menjana pendapatan segera untuk pertubuhan itu.
Seorang sumber Perkeso memberitahu The Malaysian Insight bahawa Unit Integriti Kementerian Sumber Manusia sedang menyemak semula kelulusan dan proses tadbir urus berkaitan pembelian itu, yang dibuat bagi tujuan pelaburan.
Tanah seluas 0.755 hektar itu terletak di Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur iaitu tapak kediaman untuk duta Jerman ke Malaysia.
Persoalan mengenai pembelian itu mula timbul apabila ia pada masa ini tidak menjana sebarang pulang kerana tanah itu tidak dibangunkan.
“Walaupun ramai mempersoalkan motifnya, saya fikir idea pembelian tanah itu untuk pelaburan masa depan,” kata sumber itu.
“Ia bergantung pada tanggapan. Apa pun ia, niatnya jelas iaitu melihat kepada mendapatkan pulangan lebih besar dalam jangka pendek atau jangka panjang dan terpulang pada lembaga dan panel pelaburan untuk tentukan.”
Pegawai itu yang mengesahkan bahawa semakan semula sedang dibuat oleh kementerian, berkata keputusan untuk membeli tanah itu dibuat selepas ia dibincangkan oleh panel pelaburan sebelum ini.
Bagaimanapun, difahamkan barisan panel sekarang sedang menentukan apa yang akan dibuat dengan tanah itu, melihat kepada keadaan pasaran semasa.
Pelan asalnya ialah melakukan pembangunan infrastruktur di tanah itu.
Tanah itu diperoleh daripada Malaysian Resources Corp Bhd menerusi Legasi Azam Sdn Bhd iaitu anak syarikat MRCB Land Sdn Bhd pada Mac tahun lalu.
Perjanjian jual beli (SPA) ditandatangani antara Perkeso dengan unit MRCB itu pada 19 Mac, dan urus niaga itu selesai pada 3 Julai.
Penyelesaian SPA itu juga tertakluk kepada Perkeso mendapat kelulusan Unit Perancang Ekonomi.
Ditanya adakah Perkeso terlebih bayar untuk tanah itu, sumber berkenaan berkata ketelitian sepatutnya dilakukan sebelum urus niaga itu dimeterai.
Sumber itu berkata pilihan terbuka untuk Perkeso memasukkan membangunkan tanah itu seperti pelan asal atau menjualnya apabila keadaan pasaran bertambah baik.
Penilaian baharu juga dilakukan bagi menentukan harga pasaran semasa.
Perkeso juga menghantar laporan berkenaan aktiviti pelaburannya kepada kementerian secara konsisten.
Kementerian juga memantau dana peruntukan aset strategi dalam sektor tertentu bagi memastikan ia selaras dengan profil risiko Perkeso. – 14 Februari, 2019.
Komen