Akaun Instagram siar komik gay Islam Indonesia dipadam


Akaun yang telah dipadam itu mempunyai 6,000 pengikut dan telah menyiarkan kisah seorang gay bernama Alpantuni yang mengeluh tentang diskriminasi dah kehidupannya dalam keluarga konservatif. – Gambar EPA, 13 Februari, 2019.

SATU akaun Instagram yang menyiarkan petikan komik mengenai kepayahan golongan gay Muslim di Indonesia, dipadam hari ini selepas mencetuskan kecaman ramai pihak.

Kerajaan Indonesia pada mulanya berkata syarikat media sosial itu memberi maklum balas terhadap tuntutan untuk memadamkan kandungan berunsur lucah itu.

Namun hari ini, Instagram berkata pihaknya tidak memadamkan akaun tersebut.

“Terdapat beberapa sebab akaun itu tidak lagi dapat diakses, termasuk, sebagai contoh, jika pemilik akaun itu memadam, menyahaktif atau menukar nama akaun tersebut,“kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Akaun yang telah dipadam itu mempunyai 6,000 pengikut dan telah menyiarkan kisah seorang gay bernama Alpantuni yang mengeluh tentang diskriminasi dah kehidupannya dalam keluarga konservatif.

“Keluarga saya kuat pada agama. Saya perlu solat lima kali sehari, tetapi saya mempunyai satu rahsia,” kata karakter itu dalam petikan komik yang sudah dipadam.

“Saya sangat alim di hadapan orang lain, tetapi sebenarnya saya seorang gay.”

Homoseksual tidak menyalahi undang-undang di Indonesia kecuali di Aceh, tetapi bantahan serta kecaman terhadap golongan LGBT semakin meningkat.

Petikan komik itu mencetuskan perdebatan hangat dalam media sosial apabila kalangan konservatif menyifatkannya sebagai tidak bermoral.

Pada Oktober tahun lalu, seorang lelaki Indonesia ditahan selepas mengenalikan laman Facebook khas untuk golongan gay.

Tahun yang sama juga, Google menarik semula penggunaan aplikasi gay di Indonesia atas permintaan kerajaan negara itu. – AFP, 13 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen