Industri perikanan Korea Selatan wujud 40,000 peluang kerja


Bagi penternakan ikan, kerajaan Korea Selatan akan mengusahakan ladang "pintar" bernilai tinggi yang mesra alam, menurut pegawai itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Februari, 2019.

KOREA Selatan berhasrat mewujudkan sejumlah 40,000 peluang pekerjaan dalam industri perikanan dan mengalih tumpuan daripada pengeluaran kepada pengurusan sumber melalui satu pelan pembaharuan yang dijangka siap menjelang 2030, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan kerajaan pada Rabu.

Dimuktamad pada mesyuarat peringkat menteri berkaitan ekonomi, pelan itu memperkenal anggaran jumlah tangkapan yang dibenarkan (TAC) untuk pengurusan sumber perikanan lebih baik di perairan pantai. 

Matlamatnya ialah mendapatkan semula sumber sebanyak 5.03 juta tan. Menjelang 2022, kerajaan akan menetapkan kategori ikan untuk TAC.

Pembaharuan industri juga termasuk mewujudkan 40,000 peluang pekerjaan baharu, kata pegawai di Kementerian Laut dan Perikanan.

Jumlah jualan sektor perikanan dijangka meningkat daripada 67 trilion won (US$59.76 bilion) pada 2016 kepada 100 trilion won menjelang 2030 manakala pendapatan tahunan nelayan meningkat daripada 49 juta won pada 2017 kepada 80 juta won menjelang tahun sasaran.

Bagi penternakan ikan, kerajaan Korea Selatan akan mengusahakan ladang “pintar” bernilai tinggi yang mesra alam, menurut pegawai itu. 

“Dana Tuna” akan dilancar dalam tempoh separuh pertama tahun ini untuk menarik pelaburan bagi pembiakan ikan tuna.

Kerajaan akan memilih 100 syarikat peneraju untuk meningkatkan eksport perikanan kepada AS$3.4 bilion menjelang 2030.

“Matlamatnya ialah untuk memperbaharui dan mencari jalan baharu bagi industri perikanan yang telah berdepan kesulitan akibat sumber dan jumlah nelayan yang semakin berkurangan serta populasi nelayan yang semakin tua,” menurut kementerian itu. 

“Kami telah menyediakan satu hala tuju inovasi jangka pertengahan dan panjang yang komprehensif sejak separuh pertama tahun lepas dengan mengambil kira pandangan pakar dalam bidang itu serta organisasi berkaitan.” – Bernama, 13 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen