BEIJING menasihati rakyatnya di Turki agar mengambil langkah berhati-hati susulan ketegangan hubungan China-Turki yang semakin meningkat ekoran isu etnik Uighur.
Kedutaan China di Turki dalam laman webnya berkata rakyat China yang berada di Turki perlu menjaga keselamatan diri dan barangan milik mereka.
Amaran itu dikeluarkan pada Ahad, sehari selepas ketegangan yang semakin memuncak antara kedua-dua negara itu.
Keganasan tunjuk perasaan anti-China bagi membantah penindasan etnik Uighur pernah tercetus di Turki.
Pada 2015, militan Turki membakar bendera China di depan kedutaan negara itu di Ankara.
Sebuah restoran China di Istanbul turut dirosakkan manakala sekumpulan pelancong Korea Selatan yang mengunjungi bandar itu diserang selepas disangka sebagai rakyat China.
China berdepan tekanan antarabangsa selepas laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mendakwa Beijing menahan hampir sejuta etnik Uighur di kem tahanan di Xinjiang.
Ada laporan mendakwa pihak berkuasa negara itu memaksa etnik minoriti itu untuk meninggalkan ajaran Islam dan mengamalkan budaya tempatan. – AFP, 13 Februari, 2019.
Komen