Pengkritik presiden Filipina ditahan atas dakwaan jenayah siber


Pengasas bersama portal Rappler, Maria Ressa sebelum ini pernah ditahan  atas pertuduhan mengelak daripada pembayaran cukai. – Gambar EPA, 13 Februari, 2019.

PENGKRITIK tegar Presiden Filipina Rodrigo Duterte, Maria Ressa sekali lagi ditahan pihak berkuasa negara itu atas dakwaan melakukan jenayah siber.

Ressa yang merupakan seorang wartawan dan pengasas laman web Rappler, ditahan di ibu pejabatnya di Manila.

Pada 9 Februari lalu, Ressa ditahan atas pertuduhan jenayah siber ekoran penyiaran sebuah artikel, tujuh tahun lalu. Beliau bagaimanapun dibebaskan dengan ikat jamin.

Beliau sebelum ini juga pernah ditahan  atas pertuduhan mengelak daripada pembayaran cukai dan laman webnya itu mungkin ditutup.

“Beliau ditahan dan dimaklumkan tentang haknya,” kata pengasas bersama Rappler Beth Frondoso sambil menambah pihaknya akan cuba mengikat jamin Ressa pada malam ini.

Ressa yang dinamakan sebagai Individu Terbaik Tahun 2018 oleh majalah Time atas usaha kewartawanannya, meninggalkan pejabat Rappler bersama pegawai Biro Siasatan Negara.

Laman web Rappler mengundang kemarahan kerajaan sejak menyiarkan laporan mengkritik kempen Duterte memerangi dadah sejak 2016 yang menyaksikan ribuan suspek dibunuh.

Kumpulan hak asasi manusia mengkritik kerajaan Filipina atas penahanan tersebut yang disifatkan sebagai menyekat kebebasan media di negara itu.

Kumpulan hak asasi manusia itu percaya penahanan semula wartawan itu adalah bermotifkan politik semata-mata. – AFP, 13 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen