Tiada komunikasi dengan kenderaan dinaiki Adib semasa rusuhan, kata ketua operasi


Noel Achariam

Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, Badrul Hisham Salem berkata kawasan berhampiran kuil adalah 'blindspot' yang menghalang mereka berkomunikasi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 13 Februari, 2019.

TIADA komunikasi di antara trak bomba dan van Emergency Medical Rescues Services (EMRS) ketika seorang daripada anggotanya diserang semasa rusuhan kuil Sri Maha Mariamman Seafield pada November lalu, Mahkamah Koroner diberitahu hari ini.

Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, Badrul Hisham Salem berkata kawasan berhampiran dengan kuil itu adalah “blindspot”.

“Peranti komunikasi kami tidak berfungsi di kawasan itu dan itulah sebabnya kami tidak dapat menghubungi EMRS.

“Kami biasanya menggunakan telefon bimbit semasa situasi seperti ini, tetapi kami gagal berkomunikasi dengan van sebelum dan selepas serangan itu,” katanya di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Badrul berkata demikian ketika menjawab soalan DPP Hamdan Hamzah yang bertanya apakah beliau cuba menghubungi van yang dinaiki anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim ketika rusuhan.

Adib hilang daripada pasukan yang dikatakan diserang oleh sekumpulan individu ketika mereka memberi bertindak terhadap kebakaran melibatkan sebuah kereta di depan kuil.

Semasa serangan itu Badrul memaklumkan kepada kakitangannya agar berada di dalam kenderaan itu tetapi tidak dapat menghubungi mereka yang berada dalam van.

Mereka juga tidak dapat menghubungi van ketika meninggalkan lokasi itu.

Anggota bomba hanya mengetahui Adib hilang ketika mereka tiba di balai polis USJ 8 untuk membuat laporan mengenai insiden itu.

Badrul berkata hanya semasa membuat “roll call” mereka menyedari Adib tiada.

Peguam Shazlin Mansor, yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bomba dan keluarga Adib, bertanya Badrul mengapa beliau tidak menggunakan telefon bimbitnya jika terdapat “blindspot” di kawasan itu.

Badrul berkata beliau cuba melindungi dirinya semasa serangan itu.

“Saya takut dan terkejut. Saya tidak dapat mencari telefon bimbit saya.”

Inkues bersambung esok. – 13 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen