SPR Thailand gesa parti letak puteri jadi calon dibubar


Pencalonan Puteri Ubolratana untuk bertanding bagi jawatan perdana menteri dihalang oleh Raja Maha Vajiralongkorn. – Gambar EPA, 13 Februari, 2019

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) Thailand hari ini memohon mahkamah perlembagaan untuk membubarkan parti yang mencadangkan seorang puteri diraja menjadi calon perdana menteri.

Kerajaan junta Thailand mengalami krisis politik sejak Jumaat apabila nama Puteri Ubolratana Mahidol dihantar sebagai calon oleh Parti Thai Raksa Chart, sebuah parti yang berpakat dengan bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra.

Pencalonan beliau dibuat beberapa jam selepas adik lelakinya, Raja Maha Vajiralongkorn menyifatkan penglibatan golongan diraja ke dalam dunia politik sebagai ‘tidak sesuai’.

Keluarga monarki Thailand merupakan kuasa paling tinggi di negara itu, mengatasi politik dan sering campur tangan ketika berlakunya krisis politik.

Bagaimanapun pencalonan Ubolratana mendapat tentangan SPR dan suruhanjaya itu mahu mahkamah membatalkan namanya sebagai calon perdana menteri.

SPR juga mahu mahkamah perlembagaan untuk membubarkan parti Thai Raksa Chart kerana melanggar undang-undang politik dengan membawa ahli keluarga diraja ke bidang politik.

“Tindakan ini dianggap melanggar perlembagaan beraja negara ini,” kata suruhanjaya itu.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada mahkamah boleh membubarkan parti tersebut sebelum pilihan raya yang dijadualkan berlangsung pada 24 Mac depan.

Jika dibubarkan, ahli eksekutif parti termasuk ahli keluarga Shinawatra akan berdepan larangan berpolitik bagi tempoh yang lama manakala calonya tidak boleh bertanding dalam pilihan raya tersebut.

Parti itu memberi maklum balas bahawa pihaknya akan mencabar tindakan SPR itu. – AFP, 13 Februari, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen