KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia berharap dapat mencari jalan penyelesaian berhubung isu harga, kelajuan dan liputan berkaitan perkhidmatan mudah alih, menjelang akhir tahun, kata Eddin Syazlee Shith.
Timbalan menterinya berkata, ia sedang mengkaji isu itu dan mahu menghasilkan penyelesaian seimbang yang akan melindungi kepentingan pengguna dan syarikat telekomunikasi.
“Kami faham dengan meminta telco mengurangkan harga, ia akan menjejaskan keuntungan mereka tetapi kami percaya ada cara untuk menyelesaikan masalah ini dan kami akan cuba mencari penyelesaian mengenainya menjelang akhir tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sempena Hari Internet Sedunia 2019.
“Kami memberi tumpuan kepada kelajuan dan liputan juga,” katanya.
The Malaysian Insight melaporkan pengguna Malaysia kerugian puluhan juta ringgit setiap tahun akibat perkhidmatan tidak memuaskan daripada penyedia telekomunikasi mereka.
Menurut laporan tahunan Pusat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), pelanggan kerugian RM16 juta pada 2016 dan RM15.87 juta pada 2017 susulan isu berkaitan telekomunikasi, kata pengurus kanan bagi hal undang-undang dan dasar Shabana Naseer Ahmad.
Kerugian itu berikutan pertikaian bil, caj perayauan (roaming), perkhidmatan internet jalur lebar dan mudah alih, mesej tidak diminta dan tersalah caj.
Minggu lalu, Eastern Analytica melaporkan tahap ketidakpuasan pengguna terhadap penyedia perkhidmatan mudah alih mereka - Maxis, Digi, Celcom dan U Mobile - berdasarkan harga, perkhidmatan pelanggan, kelajuan dan liputan. – 13 Februari, 2019.
Komen