ETNIK Uighur melancarkan kempen global untuk mendesak China menunjukkan video sebagai bukti bahawa saudara mereka yang ditahan pihak berkuasa negara itu masih hidup.
Kempen menerusi media sosial dilancarkan semalam menggunakan hashtag #MeTooUyghur selepas China menyiarkan video seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai ahli muzik Uighur, Abdurehim Heyit dan mengatakan dirinya berada dalam keadaan baik.
Video itu disiarkan secara umum selepas Turki mendakwa Heyit mati dalam sebuah penjara di China dan Ankara mengecam Beijing kerana menindas etnik minoriti Uighur dengan menakan mereka di kem khas di wilayah Xinjiang.
“Pihak berkuasa China menunjukkan bukti Heyit masih hidup. Kini kita mahu tahu berapa juta penduduk Uighur (yang masih hidup),” kata Halmurat Harri, seorang aktivis di Finland yang mencetuskan kempen itu.
Beliau berkata ibu bapanya sendiri pernah ditahan, dan telah dibebaskan pada tahun lalu.
Kempen itu mendapat sambutan dari seluruh dunia apabila pengguna media sosial Uighur menyiarkan gambar saudara mereka yang hilang.
Sebuah panel penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan hampir sejuta etnik Uighur dan golongan minoriti berketurunan Turki yang ditahan di kem di Xinjiang, wilayah yang menempatkan lebih 10 juta penduduk Uighur.
Ramai etnik Uighur yang tinggal di luar negara tidak dapat menghubungi saudara dan rakan mereka di China selama bertahun-tahun memandangkan platform mesej dan panggilan telefon dipantau rapi oleh pihak berkuasa negara itu, kata seorang lagi aktivis etnik iktu, Rushan Abbas yang kini menetap di Amerika Syarikat.
Beliau menuntut pihak berkuasa China menyiarkan video adiknya yang merupakan seorang ahli fizik dan kini berada di kem tahanan tersebut.
Xinjiang menyaksikan siri keganasan agama apabila China mendakwa kumpulan pengganas etnik Uighur cuba mendapatkan kemerdekaan dari Beijing.
Ekoran itu, China melancarkan operasi ketenteraan dan mengenakan tahap keselamatan yang tinggi di wilayah tersebut sejak beberapa tahun lalu. – AFP, 13 Februari, 2019.
Komen