DELEGASI anggota polis berpangkat tinggi ke Istanbul, Turki selama seminggu tidak menggunakan dana daripada Kementerian Kewangan, kata menterinya Lim Guan Eng.
Lim berkata wang yang digunakan adalah daripada syarikat ramalan nombor, Da Ma Cai, dan ia diluluskan oleh Lembaga Totalisator Malaysia.
“Saya tidak tahu apa-apa mengenai lawatan itu dan saya tidak meluluskannya kerana ia diluluskan oleh Lembaga Totalisator,” kata Lim.
“Kami (MoF) tidak memberi satu sen pun kepada syarikat atau kepada Lembaga Totalisator.”
Ia ditubuhkan di bawah Akta Perlumbaan (Lembaga Totalisator) 1961, bertanggungjawab antara lain mengendalikan urusan lumba kuda di Malaysia dan diletakkan di bawah Kementerian Kewangan.
Semalam, Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin berkata, beliau meluluskan lawatan kerja yang ditaja oleh Lembaga Totalisator Malaysia ke Turki bagi Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun dan para pegawainya.
“Saya memberi kelulusan dan perjalanan itu untuk menangani perjudian dalam talian. Tetapi saya tidak dimaklumkan berapa ramai kakitangan yang pergi ke Turki dan sama ada mereka menaiki tiket kelas perniagaan,” kata Muhyiddin sambil menambah lawatan itu ditaja oleh Lembaga Totalisator.
“Tujuannya tentang perjudian dalam talian dan ia bermanfaaat. Bukan untuk bawa orang yang hendak bersara tidak lama lagi. Kita tidak buat macam itu.
“Saya mengaku saya luluskan kerana ia lawatan yang ada manfaat.
“Tetapi seperti saya katakan, saya tidak tahu berapa ramai yang pergi dan tiket apa yang mereka beli,” tegas beliau,” kata Muhyiddin, yang juga menteri dalam negeri. – 13 Februari, 2019.
Berita penuh di sini
Komen